Khamis, 25 Februari 2010

YANG CERIA & YANG DUKA


Hari ini sebahagian besar rakyat Malaysia akan bercakap tentang keputusan peperiksaan STPM. Macam-macam cerita akan kita dengar. Bagi yang berjaya dengan cemerlang mereka akan berkongsi petua kecemerlangan dengan kita semua. Kita akan dengar ayat-ayat popular untuk berjaya seperti memberi tumpuan ketika guru sedang mengajar, mengulang kaji berjam-jam sehari, mengikuti kelas tuisyen dan pelbagai petua lagi. Begitulah lumrahnya ketika musim keputusan peperiksaan diumumkan.

Kita juga akan mendengar kata-kata motivasi yang ditujukan kepada mereka yang kurang berjaya, iaitu Jangan berputus asa, gagal sekali bukan bermakna gagal selama-lamanya dan macam-macam lagi kata yang memujuk. Tak tahu apa yang tersirat di sebalik kata-kata sedemikian. Takkan ada yang berani mengatakan 'Padan muka, dulu suruh belajar tak mau belajar. sekarang apa dah jadi!' kepada mereka yang tidak mendapat keputusan cemerlang. Silap-silap lebam muka kalau kita berkata demikian kepada mereka yang kurang menyerlah.

Ketika keputusan peperiksaan diumumkan, sekali lagi kita semua akan lupa dengan matlamat pendidikan kita. Adakah mereka yang cemerlang dalam peperiksaan itu sememangnya cemerlang dalam pelbagai perkara. Bagaimana dengan sahsiah mereka ? Adakah secemerlang dengan keputusan yang diperoleh. Rasanya tidak semua yang cemerlang keputusan peperiksaannya akan cemerlang sahsiahnya walaupun sebahagian besar masyarakat kita berpendapat mereka yang lulus cemerlang merupakan orang yang hebat sahsiahnya. Suka tidak suka kita perlu terima hakikat dan pendapat tersebut.

Walau apapun sekalung tahniah kepada mereka yang cemerlang dalam STPM 2009 dan kepada yang kurang menyerlah cuba lagi. Dunia anda belum gelap lagi. Kita percaya setiap orang sudah ditentukan rezekinya oleh Allah. Maaf kerana terpaksa guna ayat popular ini. Buktinya tengoklah iklan MLM yang disiarkan di televisyen. Daripada seorang drebar lori menjadi jutawan setelah terlibat dalam bisnes jual penapis air. Jangan terkejut nanti mereka yang cemerlang dalam peperiksaan hanya mampu menggunakan kereta Persona tetapi yang kurang menyerlah dalam peperiksaan akan menjadi jutawan kerana berjaya dalam bisnes MLM. Mereka akan bergambar gah dengan kereta mewah masing-masing. Dan ada yang lebih hebat, duduk rumah saja sudah boleh jadi jutawan. Siapa tahu. Itu semua merupakan qada dan qadar.
Kepada anak-anak didik saya yang menerima keputusan STPM hari ini, rancanglah masa depan anda dari sekarang. Berusahalah untuk menjadi orang yang hebat. Apabila anda sudah berjaya kelak jangan lupa tempat anda mencari ilmu. Kembalilah membantu dan salah satu caranya adalah dengan menyumbang kepada Program Dana Kasih PIBG Maahad Hamidiah. Nombor akaunnya CIMB Islamic : 12280000127102 (PIBG SMKA Maahad Hamidiah).

Kepada : Farah Hanani, Fatin, Ahmad Adli, Mohammad Fahmi, Fatin Shakila, Nur Izzati, Nur Nabilah,Siti Balqis, Siti Zaleha, Nik Noor Shuhada, Mohd Fakarudin, Mohammad Noor Izzat, Huwaida, Afzal Syazwan, Adibah, Nurul Liyana, Nurul Nadhirah, Muhammad Adib dan ramai lagi yang tidak dapat ditulis di laman ini diucapkan Selamat Maju Jaya. Rancang masa depan anda untuk menjadi insan rabbani.


Jumaat, 19 Februari 2010

MAULIDUR RASUL & HARI VALENTINE


Assalamualaikum kepada semua pengunjung blog Coretan Minda dan juga kepada pelajar SMKA Maahad Hamidiah yang telah berkunjung ke blog ini.

Isu yang nampak besar sejak minggu lepas ialah isu perarakan bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul yang akan disambut pada 26 Februari 2010/12 Rabiulawal 1431. Saya bukanlah orang yang layak mengemukakan pendapat tentang cara sambutannya tetapi saya terpanggil untuk membincangkannya di ruang ini kerana bimbang dengan sikap sesetengah orang kita yang beriya-iya sungguh memperjuangkan perarakan Maulidur Rasul. Keadaan tambah tenat apabila isu ini dipolitikkan. Semuanya bermula apabila ada khabar menyatakan bahawa Kerajaan Pulau Pinang telah membatalkan perarakan Maulidur Rasul. Gegak gempita seluruh negara mempertikaikan tindakan kerajaan negeri tersebut. Apa yang saya tahu ada juga negeri-negeri lain yang tidak mengadakan perarakan tersebut tetapi tiada siapa yang mempertikaikannya. Tambahan pula yang kuat mempertikaikan ketiadaan perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang bukanlah ulama atau pak-pak ustaz tetapi hanya orang biasa-biasa macam saya. Adakah perarakan Maulidur Rasul ini sesuatu yang wajib diadakan? Entahlah, saya tak berani dan tak layak untuk menjawabnya. Mungkin ada ulama atau Pak Ustaz yang berkunjung ke blog ini boleh tolong menjawab tentang hukum perarakan Maulidur Rasul.

Saya tak mahu berbicara panjang tentang perarakan Maulidur Rasul kerana saya juga ingin menyentuh perkara yang sememangnya bertentangan dengan amalan orang Islam, iaitu sambutan Hari Valentine atau Hari Kekasih yang selalu disambut pada 14 Februari. Saya rasa perkara inilah yang perlu dibimbangi oleh orang-orang yang menentang ketiadaan perarakan Maulidur Rasul kerana pengaruh Hari Kekasih ini sudah sebati dengan sebahagian orang Islam. Inilah sebenarnya ancaman yang perlu diatasi dan dibendung sebab sudah terang-terang sambutannya bertentangan dengan Islam jika dilakukan oleh orang Islam. Saya hendak bertanya kepada pejuang-pejuang perarakan Maulidur Rasul, mengapa tiada langsung suara garang dan lantang menggesa pihak berkuasa membanteras sambutan Hari Kekasih dalam kalangan orang Islam ? Kenapa mesti diam apabila perkara itu tiada kaitan dengan politik ? Berjuanglah... bersuaralah... menghapuskan amalan-amalan salah yang dilakukan oleh orang-orang Islam. Selamatkan orang-orang Islam yang hanyut dengan amalan-amalan yang tersasar jauh daripada ajaran Islam.

Akhir kata, selamat menyambut Maulidur Rasul dan semoga hidup kita akan sentiasa diberkati Allah. Maaf jika coretan ini menyentuh mana-mana pihak. Tegasnya semua yang saya coretkan hanyalah pandangan peribadi saya sahaja dan tidak bertujuan menyinggung mana-mana pihak. Wassalam.

Ahad, 14 Februari 2010

SELAMAT TAHUN BARU CINA 2010






Kepada semua warga Tionghua diucapkan Selamat Tahun Baru Cina 2010.

Kepada semua warga Maahad Hamidiah juga tidak ketinggalan selamat bercuti. Kita Satu Malaysia maa... Sejarah tercipta kita sama-sama bercuti panjang. Selamat pulang ke kampung dan sentiasa berhati-hati di jalan raya. Sempena Tahun Harimau ini kita mesti ada semangat hari-hari mau...

Cabaran Tahun Baru Cina 2010 kepada seluruh warga pendidik :

  1. Kerajaan bercadang mewajibkan guru baru bertugas di pedalaman selama tiga tahun bagi memberi pengalaman serta pendedahan kepada mereka mengenai keperitan bertugas sebagai pendidik, kata Timbalan Menteri Pelajaran YB Dr. Mohd. Puad Zarkashi.
  2. Nasi bungkus untuk kursus guru : Guru yang menghadiri kursus atau latihan di bawah anjuran Jabatan Pelajaran negeri kini hanya disediakan nasi bungkus dan air mineral untuk makan tengah hari dan sepotong kuih dengan air teh atau kopi untuk minum pagi dan petang. Untuk seharian kursus tanpa bermalam, peruntukan untuk makanan hanya RM 4.00 sehari. Keadaan ini sungguh menyedihkan, kata Hashim Adnan, Presiden NUTP.

Sumber : Berita Minggu 14 Februari 2010

3. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga pendidik yang telah berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada warga pendidik yang telah menyatakan sokongan padu kepada dasar-dasar dan strategi baru yang telah saya umumkan. Sesungguhnya, sebagai Menteri Pelajaran, saya amat mengharap dan menghargai sokongan dan dokongan padu warga pendidik untuk merealisasikan wawasan dan gagasan Kerajaan dalam meningkatkan kecemerlangan pendidikan negara. Akhirnya, saya ingin mengajak seluruh warga pendidik untuk bersama-sama mara ke hadapan, memperkukuhkan iltizam dan melakukan lonjakan berganda untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan di negara kita.

Petikan ucapan Menteri Pelajaran di Majlis Perjumpaan Khas YAB Timbalan Perdana Menteri bersama warga pendidik pada 21 Julai 2009, jam 9.00 pagi di PICC Putrajaya.

Petikan sajak Guru Oh Guru - Usman Awang

Dialah pemberi paling setia

Tiap akar ilmu miliknya

Pelita dan lampu segala

Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat

Alur kesetiaan mengalirkan nasihat

Pemimpin yang ditauliahkan segala umat

Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara

Jika hari ini seorang ulama yang mulia

Jika hari ini seorang peguam menang bicara

Jika hari ini seorang penulis terkemuka

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya

Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota

Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu

Dia adalah guru mewakili seribu buku;

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa

Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku

Budi yang diapungkan di dulangi ilmu

Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat

Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Kepada seluruh warga pendidik, selamat bertugas dan nasi bungkus pun nasi bungkus la...

Sabtu, 13 Februari 2010

KATA YANG BERBAHAGIA DATO' DR FADZILAH KAMSAH

Mereka yang dilahirkan pada bulan JULAI :

  1. Sangat suka didamping.
  2. Banyak berahsia dan sukar dimengerti terutamanya lelaki.
  3. Agak pendiam kecuali dirangsang.
  4. Ada harga dan maruah diri.
  5. Tak suka menyusahkan orang lain tapi tidak marah apabila disusahkan.
  6. Mudah dipujuk dan bercakap lurus.
  7. Sangat menjaga hati orang lain.
  8. Sangat peramah.
  9. Emosi sangat mendalam tapi mudah terluka hatinya.
  10. Berjiwa sentimental.
  11. Jarang berdendam.
  12. Mudah memaafkan tapi sukar melupakan.
  13. Tidak suka benda remeh-temeh.
  14. Membimbing cara fizikal dan mental.
  15. Sangat peka, mengambil berat dan mengasihi serta penyayang.
  16. Layanan yang serupa terhadap semua orang.
  17. Tinggi daya simpati.
  18. Pemerhatian yang tajam.
  19. Suka menilai orang lain melalui pemerhatian.
  20. Mudah dan rajin belajar.
  21. Suka muhasabah diri.
  22. Suka mengenangkan peristiwa atau kawan lama.
  23. Suka mendiamkan diri.
  24. Suka duduk di rumah.
  25. Suka tunggu kawan tapi tak cari kawan. Tidak agresif kecuali terpaksa.
  26. Lemah dari segi kesihatan perut.
  27. Mudah gemuk kalau tak kawal diet.
  28. Minta disayangi.
  29. Mudah terluka hati tapi lambat pulih.
  30. Terlalu mengambil berat.
  31. Rajin dalam membuat kerja

Rabu, 3 Februari 2010

MY WAY


Untuk memperoleh sesuatu kepuasan dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab kadang kala kita perlu bertindak mengikut cita rasa sendiri. Jangan fikir apa orang lain akan akan kata. Yang penting kita puas hati dan kerja kita menjadi. Segala perancangan dapat dicapai.



Rabu, 6 Januari 2010

GURU OH GURU

Assalamualaikum, semua pengunjung blog ini.

Kali ini saya mahu berkongsi bicara tentang guru sempena pembukaan sesi persekolahan 2010.

Renungan 1 :
Sebagai pendidik, semua guru harus menjiwai profesion ini kerana menjadi guru merupakan satu profesion amat mencabar. Kalau seorang tukang jahit salah menjahit baju, hanya sehelai baju yang rosak tetapi jika seorang pendidik salah memberi didikan, kesannya adalah kepada satu generasi pewaris negara. seperti yang diungkapkan oleh Allahyarham Dato' Usman bin Awang (1979),
"Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki,
Berguru kepalang ajar.
Ibarat bunga kembang tak jadi”
Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Bin Haji Mohd Dom

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
4 Januari 2010, bersamaan 18 Muharam 1431

Rumusan : Tugas membina manusia memerlukan komitmen yang tinggi. Kalau sebuah bangunan runtuh mungkin mangsanya sekitar puluhan sahaja tetapi kalau manusia yang runtuh seluruh negara dan bangsa akan menjadi mangsanya. Minta dijauhi Allah segala musibah.

Renungan 2
Apakah Perspektif Cemerlang ?
1. Dokumen menunggu vs. menunggu dokumen.
2. Guru mengajar vs. mengajar guru.
3. Mengejar masa vs. masa mengejar.
4. Menyambut tetamu vs. tetamu menyambut.
5. Banyak bercakap vs. bercakap banyak.
6. Rezeki berkat vs. berkat rezeki.
7. Diam berisi vs. berisi diam.
8. Menjulang nama vs. nama menjulang
9. Pandai tunjuk vs. tunjuk pandai.
10.Jari menuding vs. menuding jari.
11.Rajin kerja vs. kerja rajin.
12.Besar hati vs. hati besar.
13.Fikirkan boleh vs. boleh fikirkan.
14.Baik berpada vs. berpada baik.
15.Bulat suara vs. suara bulat

Rumusan : Di mana kedudukan kita ? Bukan semua yang menggembirakan hati kita baik untuk kita. Kadang-kadang yang menggembirakan itu tersembunyi derita dan bukan semua yang memualkan hati kita itu tidak baik untuk kita. Kadang-kadang di situlah letaknya bahagia.

Sekian, wasallam.

Ahad, 3 Januari 2010

SELAMAT TAHUN BARU 2010

Assalamualaikum dan Selamat Tahun Baru 2010 kepada yang berkunjung ke blog ini.

Sekadar hendak bercerita sedikit tentang sambutan tahun baru 2010 walaupun sudah tiga hari berlalu.

1. Jam 9 malam 31.12.2009 aku mengajak isteri dan anak-anak keluar kerana bosan berada di rumah. Destinasi pertama ke Pasaraya Billion, Kajang kerana Nadhirah hendak biskut, salah satu makanan asasinya. Dia jarang makan nasi. Tergerak hati hendak beli gula sekali setelah berita AWANI jam 7.45 malam telah beritahu harga gula akan naik jam 12 tengah malam. Apabila ditanya, pekerja pasaraya kata gula habis. Aku sudah agak itu jawapannya.
Rumusannya : Peniaga akan sorok bekalan apabila tahu harga akan naik.

2. Destinasi seterusnya aku mengajak isteri dan anak-anak pergi makan sate. Warung sate sekitar Stadium Kajang sesak dan sukar dapat tempat parkir. Aku terus ke Sungai Kantan ke sebuah kedai berhampiran Sekolah Agama Sungai Kantan. Cantik. Parkir banyak dan pelanggan kedai juga ramai. Tentu sedap makanan di situ. Aku pesan
a. 15 cucuk sate ayam
b. 10 cucuk sate perut babat
c. 10 cucuk sate kambing
d. 2 ketul nasi himpit
e. 1 pinggan bihun goreng
f. 1 pinggan nasi goreng ayam
g. 2 mangkuk cendol @ RM 2.50
h. 1 mangkuk lai chee kang
i. 1 gelas teh o ais limau
j. 1 gelas air panas kosong
Malang sungguh servisnya amat-amat lembab. Lebih 1 jam kami tunggu pesanan baru sampai. Hati sudah panas bertambah panas apabila harga yang dikenakan RM53.00. Punya lah mahal. Macam mana dia kira ? Suka tak suka bayar saja. Dalam hati aku mengutuk tauke kedai itu. H*#@>j$%8h.
Rumusan : Aku doakan semoga perniagaannya bungkus secepat yang mungkin. Tak guna ada peniaga Melayu seperti itu di Malaysia.

3. Dalam perjalanan pulang ke rumah, aku singgah di sebuah kedai 7 Eleven di Jalan Sultan Abdul Aziz, Kajang kerana hendak beli roti. Setelah kucapai bungkusan roti aku ke kaunter bayaran tetapi apabila discan harganya tertera RM3.20 sedangkan pada bungkusan ditulis RM2.95. Aku bertanya kepada pekerja kedai tentang perbezaan harga dan dia terpinga-pinga lalu dia bertanya penyelianya. Dengan bangganya penyelia kedai itu menyatakan bahawa harga roti telah naik mulai jam 12 tengah malam. Aku mengatakan waktu itu baru 11.45 malam tetapi dia kata jam pada mesin kiranya sudah 12.01 tengah malam. Pelik tapi benar. Waktu mana yang diikutnya. Mungkin di 7 Eleven masa dikira setakat jam 11 saja. Tak ada jam 12. Terkena lagi aku malam itu.
Rumusan : Nama 7 Eleven perlu ditukarkan kepada 7 Takrelevan.

4. Kesimpulannya, kedatangan Tahun Baru 2010 tak seceria seperti tahun sebelumnya. Semakin tak ceria apabila Herald menang kes penggunaan nama ALLAH. Semoga Allah terus melindungi kita semua. Wassalam.