Rabu, 6 Januari 2010

GURU OH GURU

Assalamualaikum, semua pengunjung blog ini.

Kali ini saya mahu berkongsi bicara tentang guru sempena pembukaan sesi persekolahan 2010.

Renungan 1 :
Sebagai pendidik, semua guru harus menjiwai profesion ini kerana menjadi guru merupakan satu profesion amat mencabar. Kalau seorang tukang jahit salah menjahit baju, hanya sehelai baju yang rosak tetapi jika seorang pendidik salah memberi didikan, kesannya adalah kepada satu generasi pewaris negara. seperti yang diungkapkan oleh Allahyarham Dato' Usman bin Awang (1979),
"Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki,
Berguru kepalang ajar.
Ibarat bunga kembang tak jadi”
Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Bin Haji Mohd Dom

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
4 Januari 2010, bersamaan 18 Muharam 1431

Rumusan : Tugas membina manusia memerlukan komitmen yang tinggi. Kalau sebuah bangunan runtuh mungkin mangsanya sekitar puluhan sahaja tetapi kalau manusia yang runtuh seluruh negara dan bangsa akan menjadi mangsanya. Minta dijauhi Allah segala musibah.

Renungan 2
Apakah Perspektif Cemerlang ?
1. Dokumen menunggu vs. menunggu dokumen.
2. Guru mengajar vs. mengajar guru.
3. Mengejar masa vs. masa mengejar.
4. Menyambut tetamu vs. tetamu menyambut.
5. Banyak bercakap vs. bercakap banyak.
6. Rezeki berkat vs. berkat rezeki.
7. Diam berisi vs. berisi diam.
8. Menjulang nama vs. nama menjulang
9. Pandai tunjuk vs. tunjuk pandai.
10.Jari menuding vs. menuding jari.
11.Rajin kerja vs. kerja rajin.
12.Besar hati vs. hati besar.
13.Fikirkan boleh vs. boleh fikirkan.
14.Baik berpada vs. berpada baik.
15.Bulat suara vs. suara bulat

Rumusan : Di mana kedudukan kita ? Bukan semua yang menggembirakan hati kita baik untuk kita. Kadang-kadang yang menggembirakan itu tersembunyi derita dan bukan semua yang memualkan hati kita itu tidak baik untuk kita. Kadang-kadang di situlah letaknya bahagia.

Sekian, wasallam.

Ahad, 3 Januari 2010

SELAMAT TAHUN BARU 2010

Assalamualaikum dan Selamat Tahun Baru 2010 kepada yang berkunjung ke blog ini.

Sekadar hendak bercerita sedikit tentang sambutan tahun baru 2010 walaupun sudah tiga hari berlalu.

1. Jam 9 malam 31.12.2009 aku mengajak isteri dan anak-anak keluar kerana bosan berada di rumah. Destinasi pertama ke Pasaraya Billion, Kajang kerana Nadhirah hendak biskut, salah satu makanan asasinya. Dia jarang makan nasi. Tergerak hati hendak beli gula sekali setelah berita AWANI jam 7.45 malam telah beritahu harga gula akan naik jam 12 tengah malam. Apabila ditanya, pekerja pasaraya kata gula habis. Aku sudah agak itu jawapannya.
Rumusannya : Peniaga akan sorok bekalan apabila tahu harga akan naik.

2. Destinasi seterusnya aku mengajak isteri dan anak-anak pergi makan sate. Warung sate sekitar Stadium Kajang sesak dan sukar dapat tempat parkir. Aku terus ke Sungai Kantan ke sebuah kedai berhampiran Sekolah Agama Sungai Kantan. Cantik. Parkir banyak dan pelanggan kedai juga ramai. Tentu sedap makanan di situ. Aku pesan
a. 15 cucuk sate ayam
b. 10 cucuk sate perut babat
c. 10 cucuk sate kambing
d. 2 ketul nasi himpit
e. 1 pinggan bihun goreng
f. 1 pinggan nasi goreng ayam
g. 2 mangkuk cendol @ RM 2.50
h. 1 mangkuk lai chee kang
i. 1 gelas teh o ais limau
j. 1 gelas air panas kosong
Malang sungguh servisnya amat-amat lembab. Lebih 1 jam kami tunggu pesanan baru sampai. Hati sudah panas bertambah panas apabila harga yang dikenakan RM53.00. Punya lah mahal. Macam mana dia kira ? Suka tak suka bayar saja. Dalam hati aku mengutuk tauke kedai itu. H*#@>j$%8h.
Rumusan : Aku doakan semoga perniagaannya bungkus secepat yang mungkin. Tak guna ada peniaga Melayu seperti itu di Malaysia.

3. Dalam perjalanan pulang ke rumah, aku singgah di sebuah kedai 7 Eleven di Jalan Sultan Abdul Aziz, Kajang kerana hendak beli roti. Setelah kucapai bungkusan roti aku ke kaunter bayaran tetapi apabila discan harganya tertera RM3.20 sedangkan pada bungkusan ditulis RM2.95. Aku bertanya kepada pekerja kedai tentang perbezaan harga dan dia terpinga-pinga lalu dia bertanya penyelianya. Dengan bangganya penyelia kedai itu menyatakan bahawa harga roti telah naik mulai jam 12 tengah malam. Aku mengatakan waktu itu baru 11.45 malam tetapi dia kata jam pada mesin kiranya sudah 12.01 tengah malam. Pelik tapi benar. Waktu mana yang diikutnya. Mungkin di 7 Eleven masa dikira setakat jam 11 saja. Tak ada jam 12. Terkena lagi aku malam itu.
Rumusan : Nama 7 Eleven perlu ditukarkan kepada 7 Takrelevan.

4. Kesimpulannya, kedatangan Tahun Baru 2010 tak seceria seperti tahun sebelumnya. Semakin tak ceria apabila Herald menang kes penggunaan nama ALLAH. Semoga Allah terus melindungi kita semua. Wassalam.

Rabu, 30 Disember 2009

ANTARA ENJIN JET F5E dan YANG BANYAK DAPAT E DALAM PEPERIKSAAN

Assalamualaikum,

1.SATU Malaysia digemparkan dengan kehilangan enjin jet F5E yang bernilai RM 50 juta setiap satu. Ada yang berpendapat kehilangan enjin itu petanda keselamatan negara kita terlalu longgar. Sebagai rakyat yang cinta akan negara pendapat itu mungkin ada benarnya. Walau bagaimanapun, kita serah kepada mereka yang arif untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap petualang negara yang melarikan enjin tersebut.

2. Sedikit hari lagi musim persekolahan 2010 akan bermula. Tauke-tauke uniform sekolah sudah lama tersenyum mengutip untung akhir tahun. Tauke-tauke buku pun senyum sama kerana buku-buku jualannya laris sebab semua orang mahu jadi pandai. Yang kurang senyum mungkin ibu bapa yang ramai anak. Apa nak buat sudah jadi tanggungjawab demi masa depan anak-anak.

3. Yang dapat 5A dalam UPSR dan semua A dalam PMR sudah tentu sudah menanam cita-cita untuk terus cemerlang. Macam-macam program dan kemudahan sudah disediakan untuk mereka. Sekolah asrama penuh, kelas Rancangan Khas dan tidak ketinggalan program Permata Pintar. Tahniah.

4. Namun kita mungkin lupa dengan anak-anak yang dapat 5E dalam UPSR dan banyak E dalam PMR. Ke mana mereka selepas ini ? Tiada satupun program yang diuar-uarkan untuk mereka. Kalau enjin jet F5E yang hilang akan kita cari sampai dapat tetapi bagaimana dengan 'kehilangan' mereka ini daripada arus pendidikan? Mungkin kita perlu mewujudkan sekolah berasrama penuh untuk mereka atau kita wujudkan program Permata Pintar juga untuk mereka. Kita mesti mentakrif perkataan 'pintar' dari sudut yang lebih luas. Mereka mungkin tidak pintar dalam akademik tetapi pintar dalam aspek lain yang mungkin boleh menguntungkan negara dalam jangka masa panjang. Yang penting program untuk mereka selari dengan kepintaran mereka. Siapa tahu, kerana Allah telah menetapkan setiap orang ada rezekinya masing-masing. Kita ada banyak bijak pandai yang ada idea untuk menjadikan orang pandai lebih pandai. Mungkin bijak pandai ini boleh digunakan untuk menjadikan orang tidak pandai menjadi pandai.Malaysia boleh !!!

5. Sama-sama kita renungkan dan cuba cari jalan untuk kumpulan UPSR 5E dan banyak E dalam PMR ini. Kepada anak-anak yang cemerlang, teruskan kecemerlangan dan yang kurang cemerlang, jangan hilang semangat. Kepada semua guru, selamat memulakan tugas mulia anda.Selamat Tahun Baru 2010.

6. Catatan ini hanya pandangan peribadi sahaja.

Wassalam.

Khamis, 17 Disember 2009

BELANGSUNGKAWA USTAZ ARMAN MD. RUSOFF


Tanggal 12 Disember 2009 sekitar jam 6.00 pagi waktu Malaysia, dia kembali kepada Penciptanya setelah koma selama 11 hari. Sebagai sahabat, aku amat terasa kehilangannya.


Masih terdengar suaranya ketika dia menelefonku pada tanggal 27 Disember 2009. Suaranya ceria sahaja dan bersungguh-sungguh mengajakku melawat ke Jordan. Aku seolah-olah berjanji padanya bahawa aku akan ke sana pada masa cuti sekolah sekitar bulan Jun 2010. Maklumlah bukan sedikit belanja nak ke sana. Perlu ambil masa untuk kumpul duit. Dia agak kecewa dengan jawapanku.


Itulah perbualan terakhirku dengan Allahyarham. Selepas itu, aku masih menerima beberapa sms daripadanya tetapi sudah agak lewat malam. Dua kali aku membalasnya dan selepas itu aku tertidur. Kalaulah aku tahu itu merupakan hari-hari terakhirnya sudah tentu aku akan terus berbicara dengannya walaupun sekadar dengan sms. Tapi apakan daya, hanya Allah yang maha mengetahui segala suratan takdir.


Tanggal 30 November 2009 aku mendapat panggilan telefon daripada Ustaz Zainaphi menyatakan bahawa Allahyarham koma. Aku tak percaya dan terus menghubungi Hasmadi yang juga tak tahu apa-apa. Lantas aku menghubungi Allahyarham dan isterinya yang menjawab panggilan telefonku. Aku bertanya khabar Allahyarham. Isterinya mengesahkan bahawa Allahyarham berada di ICU dalam keadaan tidak sedar. Sejak itulah dia koma dan terus pergi tak kembali. Allah lebih menyayanginya.


Semua yang mengenalinya begitu terasa kehilangannya. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah. Semoga isteri dan anak-anak serta keluarga Allahyarham tabah menghadapi ujian ini. Segala suka duka ketika kami bersahabat akan menjadi kenangan yang tak mungkin hilang dalam ingatan. Al Fatihah.

Isnin, 7 Disember 2009

Pembuka Bicara

Assalamualaikum dan selamat datang ke blog saya.

Semoga dengan kewujudan blog ini pelbagai catatan minda dan memori dapat dikongsi bersama.

Sekian, terima kasih