Selasa, 23 November 2010

Pecahkan Rekod !


Seperti tahun-tahun sebelumnya, November merupakan bulan peperiksaan di Malaysia dan boleh juga dianggap sebagai bulan banjir. Setelah bertungkus lumus selama dua tahun tibalah masa calon-calon SPM dan STPM diuji sejauh mana mereka telah menguasai pelajaran. Segala usaha tentu telah dibuat habis-habisan dan segala doa telah dipanjatkan terhadap Ilahi. SPM dan STPM seolah-olah menentukan hala tuju calon-calon ini. Apa akan jadi kepada mereka pada tahun depan. Ada juga yang menganggap SPM dan STPM menentukan 'hidup mati' mereka. Tak kiralah apa tanggapan mereka, yang penting perjuangan menghadapi peperiksaan perlu diharungi supaya keputusannya kelak menggembirakan semua pihak sama ada diri sendiri, ibu bapa atau sekolah.

Walau apapun yang akan berlaku usaha perlu diteruskan. Calon-calon peperiksaan tidak boleh mengalah. Segala tips yang diberikan oleh guru dan pakar-pakar motivasi perlu diterjemahkan dalam peperiksaan. Pecahkan rekod diri sendiri, keluarga dan sekolah kita. Bagi mereka yang rasa kurang yakin, jangan mengalah dan bagi mereka yang terlalu yakin pula jangan lupa diri. Kata seorang pakar motivasi; rezeki kita tak siapa yang tahu, kalau nak tahu kenalah ambil tahu, caranya berusaha tak perlu melahu.

Bagi mereka yang belum masuk zon peperiksaan, janganlah fikir zon itu masih jauh lagi. Dalam menikmati cuti sekolah ini, pelajaran jangan ditinggalkan terus. Peruntukkan sedikit masa untuk tengok-tengok buku. Tingkat pemahaman kita dengan mengulang kaji pelajaran. Belajar sampai faham. Faham maknanya menjiwai manakala belajar maknanya sekadar ambil tahu.

Akhirulkalam, sekali lagi kepada semua calon SPM dan STPM - Selamat menghadapi peperiksaan. Ingatlah jika ada DUIT segalanya pasti menjadi. Pecahkan rekod!!! senyum selalu.



Ahad, 5 September 2010

SELAMAT MELAKSANAKAN TUGASAN

Kepada semua murid Tingkatan 4 Rusyd.
SMKA Maahad Hamidiah.

Arahan :
  • Pilih mana-mana SATU tajuk untuk tugasan individu dan mana-mana SATU tajuk untuk tugasan kumpulan.
  • Anda tidak boleh memilih tajuk yang sama untuk tugasan individu dan tugasan kumpulan.
  • Sila sebarkan maklumat ini kepada rakan-rakan sekelas anda.
  1. Masalah pembuangan bayi.
  2. Usaha-usaha mengatasi masalah penderaan kanak-kanak.
  3. Masalah pengangkutan awam di Malaysia.
  4. Mempopularkan barangan buatan tempatan.
  5. Usaha-usaha menghadapi krisis ekonomi global.
  6. Penghargaan terhadap warga tua.
  7. Manfaat penganjuran sukan bertaraf dunia.
  8. Peranan ibu bapa mengatasi gejala sosial.
  9. Usaha-usaha memperkasakan sektor pelancongan negara.
  10. Institusi kekeluargaan sebagai pencetus kecemerlangan negara.
  11. Memperkasakan perpaduan kaum di Malaysia.
  12. Usaha-usaha melahirkan modal insan cemerlang.
  13. Peranan ibu bapa menggalakkan anak-anak minta membaca.
  14. Langkah-langkah mengatasi masalah jenayah kanak-kanak.
  15. Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi negara.
  16. Peranan institusi keluarga dalam memupuk nilai-nilai murni.
  17. Keselamatan jalan raya tanggungjawab bersama.
  18. Sukan sebagai alat perpaduan rakyat.
  19. Pembentukan disiplin anak-anak bermula dari rumah.
  20. Kebaikan dan keburukan mempunyai pelbagai stesen televisyen.

Sekian terima kasih.

Sabtu, 3 Julai 2010

Judi UPSR dan PMR !




Selepas isu judi, kini kita dibentangkan dengan isu pemansuhan UPSR dan PMR. Ketika isu judi hangat, gegak gempitalah seluruh negara dengan pelbagai bantahan (Sekalung tahniah kepada mereka yang membantah pemberian lesen judi dan kepada yang menyokong judi, rasanya ada sesuatu yang ‘tidak kena’ pada mereka ini).

Nampaknya isu judi ini telah mula surut dan dilupakan tetapi kita dihidangkan pula dengan isu pemansuhan UPSR dan PMR. Hari-hari di media massa isu ini dipaparkan dan seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Pelajaran keputusan sama ada UPSR dan PMR dimansuhkan atau tidak hanya akan diketahui dalam tempoh sebulan dua lagi. Harapan kita biarlah keputusan yang dibuat nanti merupakan keputusan yang terbaik dan bukan sekadar keputusan terburu-buru atas sesuatu yang tersirat.

Mungkin ada antara kita yang tertanya-tanya mengapa tiba-tiba UPSR dan PMR ‘diusik’ sedangkan sudah puluhan tahun kita bersama-sama dengannya. Adakah kerana UPSR dan PMR telah menjadikan sistem pendidikan kita gagal melahirkan generasi yang hebat dan cemerlang ? Kalau itulah puncanya, rasanya kita mungkin akan melakukan kerosakan sekali lagi terhadap sistem pendidikan kita. Kita mungkin akan menyebabkan generasi kita terus bermasalah.

Mungkin ada beberapa contoh bagaimana kita telah menjejaskan perkembangan generasi muda kita. Kalau masih ingat dahulu kita ada ujian khas yang membolehkan pelajar yang cemerlang melompat kelas. Akhirnya ujian itu hilang begitu sahaja setelah dikatakan terlalu menekankan aspek peperiksaan tanpa memikirkan perkembangan emosi murid. Kalau dahulu mereka yang gagal PMR tidak boleh menyambung pelajaran ke tingkatan empat tetapi selepas itu sistem tersebut dimansuhkan dan semua murid diberi peluang untuk mendapatkan pendidikan hingga ke tingkatan lima. Akhirnya apa yang kita dapat? Masalah disiplin bertambah, gejala sosial semakin membimbangkan dan pelbagai kejadian lagi yang menakutkan kita melibatkan golongan remaja. Sekali lagi sistem pendidikan kita disalahkan kerana dikatakan berorientasikan peperiksaan dan ditambah pula dengan kesalahan ibu bapa kerana dikatakan gagal mendidik anak-anak.

Kalau dahulu mereka yang gagal PMR berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah aliran vokasional tetapi apa jadi selepas itu. Semua sekolah vokasional ditukar menjadi sekolah teknik. Rasanya suatu masa dahulu sekolah-sekolah menengah teknik, khusus untuk pelajar yang cemerlang PMR tetapi selepas itu semuanya caca merba. Kita juga disuapkan dengan isu pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris kerana mahu menjadi orang hebat tetapi kita lupa kepada mereka yang tidak mampu mengikuti pengajian berdasarkan akademik semata-mata. Nampaknya penjajah telah berjaya menerapkan rasa bangga kita terhadap bahasa mereka. Setelah puluhan tahun kita merdeka kita masih beriya-iya mengagungkan bahasa penjajah. Belajar dalam bahasa Melayupun ada antara anak-anak kita dah tunggang langgang inikan pula belajar dalam bahasa asing. Malang sungguh nasib mereka ini. Tidakkah kita berasa kasihan terhadap mereka. Adakah kita mahu terus memperjudikan masa depan mereka?

Harap-harap keputusan sama ada UPSR dan PMR akan dimansuhkan atau tidak nanti benar-benar keputusan yang tepat. Mungkin pakar-pakar pendidikan dan pegawai-pegawai kita yang hebat dalam pendidikan akan memberikan nasihat dan pandangan yang betul kepada Pak Menteri. Jangan nanti apabila nasihat yang hanya mahu menjaga kedudukan sekali lagi menyebabkan kita tersilap dan mungkin berdosa kepada anak-anak bangsa kita.

Dahulu kita kata keputusan untuk menukar sekolah vokasional jadi sekolah teknik sebagai tepat dan bijak tetapi apa sudah jadi, kita mahu kembali memartabatkan aliran vokasional kembali. Dahulu kita kata belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris sebagai cara terbaik untuk menjadi maju tetapi kini apa dah jadi ? Kita dah balik asal. Takut nanti apabila kita sudah mansuh UPSR dan PMR akhirnya kita akan ‘merindui’nya dan ‘gila talak’ untuk kembali kepadanya.
Cuba bayangkan jika kita bertindak ‘menceraikan’ UPSR dan PMR daripada sistem pendidikan kita, bagaimana kita hendak menilai perkembangan pelajar-pelajar kita? Bagaimana kita hendak mengesan kebolehan mereka? Tanggapan mudahnya ialah jika UPSR dan PMR masih dikekalkan sejak awal lagi kita sudah mendapat gambaran siapa yang boleh jadi doktor, jurutera dan siapa pula yang boleh memberikan sumbangan sebagai kumpulan sokongan kepada negara.

Rasanya UPSR dan PMR tidak bersalah. Yang salah ialah kita sendiri. Mungkin ada perkara lain yang perlu dibetulkan dalam sistem pendidikan kita. Perekayasaan sistem pendidikan kita mungkin pada kandungan sukatannya dan bukannya pada peperiksaannya. Mungkin juga pada perancang-perancangnya. Tentu bijak pandai kita dalam pendidikan mampu berbuat sesuatu bukan sekadar pandai cakap.Ingatlah, jika nasi sudah menjadi bubur masih boleh dimakan tetapi jika generasi muda yang rosak apa akan jadi pada negara kita ? Akhirnya saya ingin tegaskan bahawa semua pendapat dalam tulisan ini hanya berdasarkan pendapat saya semata-mata dan tidak bertujuan untuk menyalahkan mana-mana pihak. Wassalam.

Khamis, 3 Jun 2010

Nabi Muhammad s.a.w dalam Kitab Hindu


Assalamualaikum, lama sudah blog saya ini sunyi. Saya pun tak tahu mengapa saya terlalu malas untuk update blog ini tetapi hari ini saya terjumpa satu artikel yang saya rasa menarik untuk dikongsi daripada salah satu blog yang selalu saya singgah. Harap pemilik blog tersebut memberikan keizinan kepada saya untuk memaparkan tulisannya di blog saya ini sekadar untuk berkongsi maklumat.


Nabi Muhammad (s.a.w) Dalam Kitab Hindu
Seorang professor penyelidik pakar bahasa India dari Universiti Alahabad, dalam buku hangatnya, telah menerbitkan buku mengenai Kalki Avatar yang bererti Pembimbing Agung. Beliau mendakwa bahawa gambaran mengenai Kalki Avatar yang terdapat di dalam kitab suci Hindu yang sebenarnya ialah Nabi Muhammad s.aw.

Di India sudah menjadi perkara biasa sejurus selepas sesuatu buku seperti Kalki Avatar dilancarkan akan menjadi suatu bahan bualan dan gosip seluruh negara. Jikalau pengarangnya seorang muslim, mungkin dia akan ditangkap atau dibunuh. Semua buku bukunya akan ditarik balik dari berada dipasaran. Hingga ke tahap buku itu tidak akan dibenarkan untuk diulang cetak. Tunjuk perasaan dan keganasan akan tercetus terhadap insan muslim yang tidak berdosa dengan pertumpahan darah di mana-mana. Yang menakjubkan, pengarang buku ini ialah seorang yang berfikiran sederhana dan professor khusus yang secara kebetulan seorang Hindu. Nama beliau ialah Pandit Vedaprakash Upadhal, menamakan tajuk bukunya sebagai Kalki Avatar. Pengarang ialah penyandang sami beragama Hindu Brahmin yang berasal dari Bengali. Beliau seorang penyelidik sekular.

Menurut kepercayaan penganut Hindu, ada digariskan gambaran dan panduan tentang pemimpin yang bernama Kalki Avatar. Hal ini sangat bertepatan dengan Nabi Muhammad s.a.w. Oleh itu, penganut Hindu di seluruh dunia tidaklah perlu menunggu lagi akan kedatangan Kalki Avatar (semangat/roh) yang dimaksudkan. Sewajarnya mereka segera menerima kenabian Nabi Muhammad s.a.w bin Abdullah sebagai pesuruh Allah (Kalki Avatar) yang dimaksudkan oleh kitab suci Hindu mereka itu. Fakta-fakta dan penemuan mengenainya telah disahkan oleh lapan pandit sami kanan Hindu yang lain yang mengatakan bahawa penganut Hindu selama ini menghanyutkan diri mereka dalam penantian yang tidak berpenghujung, sedangkan pesuruh tersebut telah pun muncul dan telahpun wafat 14 abad yang lalu.

Pengarang telah mengemukakan bukti yang kukuh seperti yang digali dari kitab Vedas serta buku-buku suci agama hindu yang lain bagi membuktikan kebenaran hujah beliau, iaitu :

1. Dalam ramalan Prophecy Hindus Purana (buku suci Hindu) telah dinukilkan bahawa Kalki Avatar ialah pesuruh Tuhan yang terakhir di muka bumi ini untuk pertunjuk bagi seluruh dunia dan seluruh manusia di alam ini. Al Qur'an telah memberitahu bahawa Nabi Muhammad s.a.w. ialah nabi yang terakhir buat pertunjuk seisi alam termasuk jin dan manusia.

2. Menurut ramalan agama Hindu, kelahiran Kalki Avatar akan berlaku di suatu tempat menyerupai pulau (negeri dikelilingi padang pasir) dan mengikut agama Hindu tempat itu letaknya di kawasan bumi Arab.

3. Dalam buku Hindu, nama bapa dan ibu Kalki Avatar dikenali sebagai VISHNUBHAGAT dan SUMAANI. Jika kita lihat makna bagi kedua-dua nama tersebut, akan kedapatan sesuatu yang menarik untuk direnungi. VISHNUBHAGAT = Vishnu bererti Tuhan + Bhagat bererti hamba, apabila diterjemah ke dalam bahasa Arab, Tuhan itu ALLAH + hamba itu Abdul. Apabila dicantumkan akan menjadi ABDULLAH (bapa kepada Nabi Muhammad s.a.w) manakala SUMAANI bererti aman atau tenang yang dalam bahasa Arab AMINAH (nama ibu Nabi Muhammad s.a.w).

4. Dalam buku-buku agama Hindu, dinukilkan bahawa bahan makanan asas Kalki Avatar ialah buah kurma dan zaitun. Beliau merupakan seorang yang amanah lagi jujur dan paling dipercayai seluruh masyarakatnya. Tak dapat disangsikan bahawa makanan asas Nabi ialah buah kurma dan zaitun. Nabi Muhammad s.a.w juga mempunyai akhlak sebegini tinggi dan dipercayai oleh setiap orang dan masyarakatnya.

5. Dinukilkan juga dalam Vedas, bahawa kelahiran Kalki Avatar akan berlaku di tengah-tengah kalangan keturunan yang dihormati. Hal ini bertepatan dengan Nabi Muhammad s.a.w dilahirkan dari golongan Quraish yang terkenal dan sangat dihormati oleh masyarakat ketika itu.
6. Dalam buku tersebut juga dinukilkan bahawa Tuhan akan mengajar Kalki Avatar melalui malaikat di dalam gua. Bertepatan dengan Allah yang telah mengajar Nabi Muhammad s.a.w dengan memerintahkan Malaikat Jibrail untuk mengunjungi serta mengajar nabi berupa wahyu di dalam gua yang bernama Gua Al Hira.

7. Juga dinukilkan bahawa Tuhan akan memberi kenderaan yang pantas buat Kalki Avatar untuk mengembara ke seluruh alam maya serta naik ke langit hingga ke langit ke-7. Hal ini bertepatan dengan perkara yang dialami oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam peristiwa Isyra' dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Al Aqsa di Palestin dan Mi'raj nabi ke langit ke-7 dengan menunggang seekor Burak dalam satu malam.

5. Dinukilkan juga dalam buku tersebut bahawa Kalki Avatar akan diberikan pertolongan yang luar biasa oleh Tuhan dan ini terbukti jelas bahawa Allah telah memberikan bantuan luar biasa kepada Nabi Muhammad s.a.w dalam peperangan Uhud dan yang lain lain.

6. Yang menakjubkan dinukilkan juga bahawa Kalki Avatar akan dilahirkan pada 12 haribulan. Hal ini bertepatan sekali bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah dilahirkan pada 12hb Rabiulawal (kalendar Islam).

7. Dinukilkan juga dalam Vedas bahawa Kalki Avatar merupakan seorang penunggang kuda yang baik dan ahli main pedang yang cekap. Hal ini bertepatan dengan Nabi Muhammad s.a.w yang terkenal dalam bidang berkenaan. Lagipun pengarang mengajak penganut agama Hindu berfikir bahawa zaman kuda dan pedang telah berlalu dan kini manusia menggunakan senapang dan roket. Adalah sesuatu yang dangkal mengharapkan datangnya Kalki Avatar yang ditunggu tanpa penghujung walhal ia telah pun muncul 1400 tahun yang lalu.

Dalam Al Quran telah diceritakan tentang ciri ciri dan tanda tanda mengenai Nabi Muhammad s.a.w dengan jelas dan bertepatan apa-apa yang dinantikan oleh penganut Hindu terhadap Kalki Avatar. Pengarang telah memberi hujah-hujah yang mengatakan Kalki Avatar yang dimaksudkan itu ialah Nabi Muhammad s.a.w dan kepada yang masih lagi menunggu akan kedatangan Kalki Avatar sewajarnya berfikir semula dan renungilah akan kebenarannya. Wallahualam.

Sabtu, 3 April 2010

SELAMAT HARI LAHIR


Salam kepada semua,


Rasanya sudah lama saya tidak mencatat sesuatu di blog ini. Idea ada tetapi sukar untuk digarap. Terlalu cepat masa beredar. Dah masuk ke bulan April dan begitulah masa akan terus berlalu dan berlalu. Bagaimana dengan kita ? Bulan April ini saya mulai dengan mengucapkan Selamat Hari Lahir kepada isteri saya yang jatuh pada hari ke-14. Begitu juga kepada semua yang menyambut hari ulang tahun kelahiran pada bulan ini dan seperti biasa apabila menyentuh perkara berkaitan hari lahir saya ingin memaparkan ciri-ciri mereka yang lahir pada bulan April sebagaimana yang dikaji oleh Yang berbahagia Dato Dr. Fadillah Kamsah sekadar untuk makluman bersama. Kata Yang Berbahagia Dato' orang yang lahir pada bulan April ada ciri-ciri berikut, iaitu :



  1. Sangat aktif dan dinamik.

  2. Cepat bertindak membuat keputusan tetapi cepat menyesal.

  3. Sangat menarik dan pandai menjaga diri.

  4. Punya daya mental yang sangat kuat.

  5. Suka diberi perhatian.

  6. Sangat diplomatik (pandai memujuk ).

  7. Berkawan dan pandai menyelesaikan masalah orang.

  8. Sangat berani dan tiada perasaan takut.

  9. Suka perkara yang mencabar, pengasih, penyayang, sopan santun dan pemurah.

  10. Emosi cepat terusik.

  11. Cuba kawal perasaan.

  12. Kecenderungan bersifat pendendam.

  13. Agresif dan kelam kabut dalam membuat keputusan.

  14. Kuat daya ingatan.

  15. Gerak hati yang sangat kuat.

  16. Pandai mendorong diri sendiri dan memotivasikan orang lain.

  17. Berpenyakit di sekitar kepala dan dada.

  18. Sangat cemburu dan terlalu cemburu.
Semua ciri yang dipaparkan hanya kajian semata-masa. Yang sebenarnya hanya Allah yang maha mengetahui. Sekian.

Sabtu, 20 Mac 2010

KISAH TELEVISYEN

Jangan cuba-cuba tiru aksi ini.
Salam,

Kali ini saya hendak berbicara tentang televisyen. Ketika saya menulis post ini, secara berselang seli saya menonton siaran berita 7.30 pagi di Astro Awani. Sebahagian besar berita tentang politik negara terutama tentang pendedahan seorang ahli parlimen bebas terhadap seorang ahli politik lain. Macam-macam komen diberikan. Satu perkara saya nak komen, dalam konteks perjuangan bolehkah kita mempercayai seorang yang telah belot. Kalau tak silap saya dalam peperangan jika ada askar yang belot hukumannya sangat berat tapi dalam politik mengapa pembelot dianggap wira? Sehari dua ini Parlimen bukan menjadi medan membela rakyat tetapi bertukar menjadi medan mengaibkan wakil rakyat. Apa dah jadi ? Betulkan saya jika tafsiran saya silap.

Kita tinggalkan dulu hal politik sebab saya pun tidak berminat nak bercerita panjang tentang perkara itu. Pada saya yang penting ialah sejauh manakah kita mampu menggunakan pemikiran yang waras untuk menentukan apa yang terbaik pada kita. Orang lain hanya boleh berkempen tetapi keputusannya kita yang buat.

Saya masih hendak bercerita tentang siaran televisyen yang menarik disiarkan secara langsung di TV1 pada malam 18 Mac 2010, iaitu program realiti 'Adik-adikku'. Sangat menarik ditonton kerana program anjuran JAKIM itu boleh dianggap sebagai satu usaha murni untuk melahirkan kumpulan pendakwah kanak-kanak dan untuk jangka panjang melahirkan pendakwah yang berwibawa di negara ini yang menggunakan pendekatan menarik. Sesiapa yang menonton rancangan itu tentu bersetuju dengan saya. Tahniah untuk adik Mohd. Wajih yang menjadi juara musim pertama. Tahniah juga kepada semua peserta lain. Tahniah juga kepada JAKIM yang mampu menganjurkan program hebat tersebut. Harap-harap program ini akan diteruskan dengan lebih hebat lagi. Biar jauh lebih hebat daripada AF yang sudah sampai musim ke-8. Saya harap JAKIM perlu memberikan nasihat kepada penerbit AF supaya adegan berpeluk-peluk antara lelaki dan perempuan yang masih berleluasa dan dipaparkan dengan bangganya di kaca televisyen ditiadakan. Opps! sebenarnya ada juga televisyen yang tidak berkaca lagi. Tahniah juga kepada kumpulan penaja progran realiti 'Adik-adikku' dan salah satu penaja utamanya ialah syarikat roti Gardenia. Mana syarikat roti orang Islam, tak teringinkah untuk menjadi penaja ?

Seterusnya saya juga berharap peserta-peserta program realiti 'Adik-adikku' tidak dipermatakan takut nanti hilang niat suci mereka untuk menjadi pendakwah sejati. Takut nanti mereka berasa sudah menjadi golongan elit yang ada kelas tersendiri dan akan berdakwah kerana fulus dan akhirnya orang kampung tak akan mampu mengundang mereka. Satu lagi biarkan mereka membesar mengikut hukum alam dan secara normal. Jangan nanti mereka yang hebat ini akhirnya tak ke mana. Kalau kita masih ingat kepada Mohd. Hanafi si anak pintar itu. Ke mana dia sekarang, masih hebatkah lagi sedangkan dia pernah diuruskan oleh orang-orang yang hebat. Apa jadi kepada Adiputra; senyap saja. Kalau saya tak silap, baru-baru ini pihak berkuasa ada merampas ubat menggunakan jenama nama anak itu yang dikatakan boleh memberikan kesan negatif kepada kesihatan pengguna. Kadang-kadang kita terlalu ghairah untuk menjadikan orang hebat semakin hebat dan pada masa yang sama melupakan hukum dan fitrah perkembangan manusia. Kita lupa keperluan emosi kanak-kanak yang dalam proses membesar kerana kita mahu mereka menjadi lebih super secara 'segera'. Akhirnya mereka yang menjadi mangsa. Kita ambil contoh kereta Kancil yang berkuasa kuda 850 cc dan ditukar enjin turbo. Memanglah laju jadinya kereta itu tetapi berapa lama boleh tahan. Tentu terdedah pada kemalangan kerana terlalu laju dan melanggar hukum kejuruteraan.

Satu lagi yang banyak dipaparkan di televisyen ialah jualan minuman super dan ubat menjadi pandai. Hal tentang menjadi super ini memang mudah mempengaruhi orang Melayu termasuk saya. Mujurlah doktor di IJN yang pernah saya jumpa berpesan supaya saya tak selalu minum kopi. Sebutlah apa yang boleh menjadikan kehebatan segera tentu akan laris di pasaran. Dari minuman kopi hinggalah ubat untuk menjadi pandai dan ada juga yang mendakwa produk mereka boleh menjadikan seseorang itu terang hati tentu akan menjadikan pengusahanya kaya raya. Kadang-kadang yang cipta kopi super atau ubat pandai tak tinggi manapun ilmunya. Kenapa dalam iklan tidak disisipkan frasa kalau tiada usaha bersungguh-sungguh jangan haraplah boleh berjaya. Kita mesti maklum semua hero buatan Amerika seperti Superman, Batman dan macam-macam lagi hanya pembohongan belaka. Pakai seluar dalam pun di luar macam mana kita nak percaya kehebatan superhero tersebut.

Sebelum coretan ini saya akhiri, saya mohon maaf jika coretan ini menyentuh mana-mana pihak. Semua yang saya coretkan hanya pandangan peribadi semata-mata tidak berniat untuk menyentuh mana-mana pihak. Wallahualam.