Sabtu, 19 Mei 2012

Apa Khabar

Assalamualaikum kepada semua pengunjung blog Coretan Minda ini.
Sudah lama blog ini tak dikemas kini.
 
Banyak isu menarik yang kerap dibincang oleh khalayak belakangan ini. Paling panas ialah isu pilihan raya umum 13 yang entah bila akan berlaku. Semua terletak di tangan PM tapi PM kata belum dapat ilham. Bila agaknya ilham tu nak datang hanya Allah saja yang tahu isi hati PM.

Perhimpunan Bersih 3.0 dah lama berlangsung tapi bahangnya masih terasa. Polis pula tengah cari mereka yang dikatakan melakukan keganasan. Ada pihak pula kata polis juga mengganas pada hari itu. Entah siapa yang betul hanya Allah yang tahu. Satu pihak menuduh SPR tak adil dan telus manakala satu pihak lagi kata SPR telus dan adil. Persoalannya mengapa susah sangat untuk berlaku adil dan telus. Cerita politik ni sampai bila pun tak habis kecuali PM cepat-cepat menghadap YDPA untuk bubar Parlimen.

Tahniah kepada anak-anak didik saya yang cemerlang dalam STPM 2011. Mungkin masih belum terlewat untuk ucapan ini. Semoga semuanya berjaya mendapat tempat di IPT. Saya tumpang bangga. Kepada anak-anak didik saya yang akan menduduki SSTPM 2012 harap dapat berusaha keras untuk lebih berjaya. Jangan suka buang masa dan akhirnya menghampakan harapan ibu bapa. Macam-macam kemudahan belajar disediakan jadi tak patut jika anda gagal. Baru-baru ini beberapa orang telah mendapat komputer 1Malaysia. Gunakan untuk perkara bermanfaat.

Selamat datang kepada anak-anak didik baru 6 Bawah 2012. Agak ramai juga tapi tak tahulah sampai bila mereka akan kekal di Tingkatan 6. Kena kuat semangat untuk berjaya dalam STPM. Tambah-tambah tahun ini sudah mula sistem pentaksiran baharu STPM. Tak boleh relax lagi kerana tak ada istilah honey moon 6 Bawah. Hujung tahun ni sudah ada peperiksaan Penggal 1 STPM. Mesti pulun awal-awal supaya markah yang diperoleh boleh menjamin keputusan yang cemerlang.

Jumpa lagi... Insya-Allah.

Jumaat, 8 April 2011

SELAMAT HARI JADI ISTERIKU PADA 14 APRIL

KADANG-KADANG KITA LUPA

Salam kepada pengunjung blog ini. Sudah lama saya tidak mengemas kini blog saya. Saya pun tak tahu apa sebabnya. Mungkin tidak ada masa, mungkin juga malas dan mungkin juga disebabkan terlupa. Ketika ini semua peminat politik negara berbicara tentang video lucah yang dikatakan membabitkan personaliti politik terkemuka dan sangat berpengaruh di negara ini. Bagi yang menyokong tokoh ini semua tidak mempercayai kebenarannya manakala mereka yang membencinya dengan penuh yakin mengatakan bahawa personaliti tersebut benar-benar terlibat hingga tahap kepercayaan sehingga 120 peratus. Apabila bercakap tentang video lucah, kita yang normal dan rasional tentu amat meluat dengan sikap orang-orang tertentu yang suka 'membunuh' musuhnya dengan cara sedemikian. Kita kadang-kadang lupa bahawa kita ada agama yang suci dan budaya yang murni yang sepatutnya menjadi penghalang kepada kita untuk mengaibkan orang lain sedemikian rupa. Entahlah apa nak jadi dengan orang-orang kita, khususnya orang Melayu yang suka sangat mengaibkan orang lain. Memetik dialog watak Aduka kepada Teruna dalam filem Semerah Padi "Sudah lupakah engkau kepada agama Islam?" Kalau diteliti mungkin ada benarnya orang-orang kita memang sudah lupa kepada agama Islam. Jika tidak masakan mereka sanggup mengaibkan orang lain sedemikian rupa. Kita bimbang sikap ini akan menular dalam kalangan generasi muda, khususnya murid-murid sekolah. Jika keadaan itu berlaku maka sukar untuk kita bayangkan bagaimanakah generasi kita akan datang. Sungguh menggerunkan ! Apa akan terjadi jika generasi akan datang hanya memikirkan perkara-perkara yang lucah sahaja dalam hidup mereka.

Selasa, 23 November 2010

Pecahkan Rekod !


Seperti tahun-tahun sebelumnya, November merupakan bulan peperiksaan di Malaysia dan boleh juga dianggap sebagai bulan banjir. Setelah bertungkus lumus selama dua tahun tibalah masa calon-calon SPM dan STPM diuji sejauh mana mereka telah menguasai pelajaran. Segala usaha tentu telah dibuat habis-habisan dan segala doa telah dipanjatkan terhadap Ilahi. SPM dan STPM seolah-olah menentukan hala tuju calon-calon ini. Apa akan jadi kepada mereka pada tahun depan. Ada juga yang menganggap SPM dan STPM menentukan 'hidup mati' mereka. Tak kiralah apa tanggapan mereka, yang penting perjuangan menghadapi peperiksaan perlu diharungi supaya keputusannya kelak menggembirakan semua pihak sama ada diri sendiri, ibu bapa atau sekolah.

Walau apapun yang akan berlaku usaha perlu diteruskan. Calon-calon peperiksaan tidak boleh mengalah. Segala tips yang diberikan oleh guru dan pakar-pakar motivasi perlu diterjemahkan dalam peperiksaan. Pecahkan rekod diri sendiri, keluarga dan sekolah kita. Bagi mereka yang rasa kurang yakin, jangan mengalah dan bagi mereka yang terlalu yakin pula jangan lupa diri. Kata seorang pakar motivasi; rezeki kita tak siapa yang tahu, kalau nak tahu kenalah ambil tahu, caranya berusaha tak perlu melahu.

Bagi mereka yang belum masuk zon peperiksaan, janganlah fikir zon itu masih jauh lagi. Dalam menikmati cuti sekolah ini, pelajaran jangan ditinggalkan terus. Peruntukkan sedikit masa untuk tengok-tengok buku. Tingkat pemahaman kita dengan mengulang kaji pelajaran. Belajar sampai faham. Faham maknanya menjiwai manakala belajar maknanya sekadar ambil tahu.

Akhirulkalam, sekali lagi kepada semua calon SPM dan STPM - Selamat menghadapi peperiksaan. Ingatlah jika ada DUIT segalanya pasti menjadi. Pecahkan rekod!!! senyum selalu.



Ahad, 5 September 2010

SELAMAT MELAKSANAKAN TUGASAN

Kepada semua murid Tingkatan 4 Rusyd.
SMKA Maahad Hamidiah.

Arahan :
  • Pilih mana-mana SATU tajuk untuk tugasan individu dan mana-mana SATU tajuk untuk tugasan kumpulan.
  • Anda tidak boleh memilih tajuk yang sama untuk tugasan individu dan tugasan kumpulan.
  • Sila sebarkan maklumat ini kepada rakan-rakan sekelas anda.
  1. Masalah pembuangan bayi.
  2. Usaha-usaha mengatasi masalah penderaan kanak-kanak.
  3. Masalah pengangkutan awam di Malaysia.
  4. Mempopularkan barangan buatan tempatan.
  5. Usaha-usaha menghadapi krisis ekonomi global.
  6. Penghargaan terhadap warga tua.
  7. Manfaat penganjuran sukan bertaraf dunia.
  8. Peranan ibu bapa mengatasi gejala sosial.
  9. Usaha-usaha memperkasakan sektor pelancongan negara.
  10. Institusi kekeluargaan sebagai pencetus kecemerlangan negara.
  11. Memperkasakan perpaduan kaum di Malaysia.
  12. Usaha-usaha melahirkan modal insan cemerlang.
  13. Peranan ibu bapa menggalakkan anak-anak minta membaca.
  14. Langkah-langkah mengatasi masalah jenayah kanak-kanak.
  15. Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi negara.
  16. Peranan institusi keluarga dalam memupuk nilai-nilai murni.
  17. Keselamatan jalan raya tanggungjawab bersama.
  18. Sukan sebagai alat perpaduan rakyat.
  19. Pembentukan disiplin anak-anak bermula dari rumah.
  20. Kebaikan dan keburukan mempunyai pelbagai stesen televisyen.

Sekian terima kasih.

Sabtu, 3 Julai 2010

Judi UPSR dan PMR !




Selepas isu judi, kini kita dibentangkan dengan isu pemansuhan UPSR dan PMR. Ketika isu judi hangat, gegak gempitalah seluruh negara dengan pelbagai bantahan (Sekalung tahniah kepada mereka yang membantah pemberian lesen judi dan kepada yang menyokong judi, rasanya ada sesuatu yang ‘tidak kena’ pada mereka ini).

Nampaknya isu judi ini telah mula surut dan dilupakan tetapi kita dihidangkan pula dengan isu pemansuhan UPSR dan PMR. Hari-hari di media massa isu ini dipaparkan dan seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Pelajaran keputusan sama ada UPSR dan PMR dimansuhkan atau tidak hanya akan diketahui dalam tempoh sebulan dua lagi. Harapan kita biarlah keputusan yang dibuat nanti merupakan keputusan yang terbaik dan bukan sekadar keputusan terburu-buru atas sesuatu yang tersirat.

Mungkin ada antara kita yang tertanya-tanya mengapa tiba-tiba UPSR dan PMR ‘diusik’ sedangkan sudah puluhan tahun kita bersama-sama dengannya. Adakah kerana UPSR dan PMR telah menjadikan sistem pendidikan kita gagal melahirkan generasi yang hebat dan cemerlang ? Kalau itulah puncanya, rasanya kita mungkin akan melakukan kerosakan sekali lagi terhadap sistem pendidikan kita. Kita mungkin akan menyebabkan generasi kita terus bermasalah.

Mungkin ada beberapa contoh bagaimana kita telah menjejaskan perkembangan generasi muda kita. Kalau masih ingat dahulu kita ada ujian khas yang membolehkan pelajar yang cemerlang melompat kelas. Akhirnya ujian itu hilang begitu sahaja setelah dikatakan terlalu menekankan aspek peperiksaan tanpa memikirkan perkembangan emosi murid. Kalau dahulu mereka yang gagal PMR tidak boleh menyambung pelajaran ke tingkatan empat tetapi selepas itu sistem tersebut dimansuhkan dan semua murid diberi peluang untuk mendapatkan pendidikan hingga ke tingkatan lima. Akhirnya apa yang kita dapat? Masalah disiplin bertambah, gejala sosial semakin membimbangkan dan pelbagai kejadian lagi yang menakutkan kita melibatkan golongan remaja. Sekali lagi sistem pendidikan kita disalahkan kerana dikatakan berorientasikan peperiksaan dan ditambah pula dengan kesalahan ibu bapa kerana dikatakan gagal mendidik anak-anak.

Kalau dahulu mereka yang gagal PMR berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah aliran vokasional tetapi apa jadi selepas itu. Semua sekolah vokasional ditukar menjadi sekolah teknik. Rasanya suatu masa dahulu sekolah-sekolah menengah teknik, khusus untuk pelajar yang cemerlang PMR tetapi selepas itu semuanya caca merba. Kita juga disuapkan dengan isu pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris kerana mahu menjadi orang hebat tetapi kita lupa kepada mereka yang tidak mampu mengikuti pengajian berdasarkan akademik semata-mata. Nampaknya penjajah telah berjaya menerapkan rasa bangga kita terhadap bahasa mereka. Setelah puluhan tahun kita merdeka kita masih beriya-iya mengagungkan bahasa penjajah. Belajar dalam bahasa Melayupun ada antara anak-anak kita dah tunggang langgang inikan pula belajar dalam bahasa asing. Malang sungguh nasib mereka ini. Tidakkah kita berasa kasihan terhadap mereka. Adakah kita mahu terus memperjudikan masa depan mereka?

Harap-harap keputusan sama ada UPSR dan PMR akan dimansuhkan atau tidak nanti benar-benar keputusan yang tepat. Mungkin pakar-pakar pendidikan dan pegawai-pegawai kita yang hebat dalam pendidikan akan memberikan nasihat dan pandangan yang betul kepada Pak Menteri. Jangan nanti apabila nasihat yang hanya mahu menjaga kedudukan sekali lagi menyebabkan kita tersilap dan mungkin berdosa kepada anak-anak bangsa kita.

Dahulu kita kata keputusan untuk menukar sekolah vokasional jadi sekolah teknik sebagai tepat dan bijak tetapi apa sudah jadi, kita mahu kembali memartabatkan aliran vokasional kembali. Dahulu kita kata belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris sebagai cara terbaik untuk menjadi maju tetapi kini apa dah jadi ? Kita dah balik asal. Takut nanti apabila kita sudah mansuh UPSR dan PMR akhirnya kita akan ‘merindui’nya dan ‘gila talak’ untuk kembali kepadanya.
Cuba bayangkan jika kita bertindak ‘menceraikan’ UPSR dan PMR daripada sistem pendidikan kita, bagaimana kita hendak menilai perkembangan pelajar-pelajar kita? Bagaimana kita hendak mengesan kebolehan mereka? Tanggapan mudahnya ialah jika UPSR dan PMR masih dikekalkan sejak awal lagi kita sudah mendapat gambaran siapa yang boleh jadi doktor, jurutera dan siapa pula yang boleh memberikan sumbangan sebagai kumpulan sokongan kepada negara.

Rasanya UPSR dan PMR tidak bersalah. Yang salah ialah kita sendiri. Mungkin ada perkara lain yang perlu dibetulkan dalam sistem pendidikan kita. Perekayasaan sistem pendidikan kita mungkin pada kandungan sukatannya dan bukannya pada peperiksaannya. Mungkin juga pada perancang-perancangnya. Tentu bijak pandai kita dalam pendidikan mampu berbuat sesuatu bukan sekadar pandai cakap.Ingatlah, jika nasi sudah menjadi bubur masih boleh dimakan tetapi jika generasi muda yang rosak apa akan jadi pada negara kita ? Akhirnya saya ingin tegaskan bahawa semua pendapat dalam tulisan ini hanya berdasarkan pendapat saya semata-mata dan tidak bertujuan untuk menyalahkan mana-mana pihak. Wassalam.