Sabtu, 20 Mac 2010

KISAH TELEVISYEN

Jangan cuba-cuba tiru aksi ini.
Salam,

Kali ini saya hendak berbicara tentang televisyen. Ketika saya menulis post ini, secara berselang seli saya menonton siaran berita 7.30 pagi di Astro Awani. Sebahagian besar berita tentang politik negara terutama tentang pendedahan seorang ahli parlimen bebas terhadap seorang ahli politik lain. Macam-macam komen diberikan. Satu perkara saya nak komen, dalam konteks perjuangan bolehkah kita mempercayai seorang yang telah belot. Kalau tak silap saya dalam peperangan jika ada askar yang belot hukumannya sangat berat tapi dalam politik mengapa pembelot dianggap wira? Sehari dua ini Parlimen bukan menjadi medan membela rakyat tetapi bertukar menjadi medan mengaibkan wakil rakyat. Apa dah jadi ? Betulkan saya jika tafsiran saya silap.

Kita tinggalkan dulu hal politik sebab saya pun tidak berminat nak bercerita panjang tentang perkara itu. Pada saya yang penting ialah sejauh manakah kita mampu menggunakan pemikiran yang waras untuk menentukan apa yang terbaik pada kita. Orang lain hanya boleh berkempen tetapi keputusannya kita yang buat.

Saya masih hendak bercerita tentang siaran televisyen yang menarik disiarkan secara langsung di TV1 pada malam 18 Mac 2010, iaitu program realiti 'Adik-adikku'. Sangat menarik ditonton kerana program anjuran JAKIM itu boleh dianggap sebagai satu usaha murni untuk melahirkan kumpulan pendakwah kanak-kanak dan untuk jangka panjang melahirkan pendakwah yang berwibawa di negara ini yang menggunakan pendekatan menarik. Sesiapa yang menonton rancangan itu tentu bersetuju dengan saya. Tahniah untuk adik Mohd. Wajih yang menjadi juara musim pertama. Tahniah juga kepada semua peserta lain. Tahniah juga kepada JAKIM yang mampu menganjurkan program hebat tersebut. Harap-harap program ini akan diteruskan dengan lebih hebat lagi. Biar jauh lebih hebat daripada AF yang sudah sampai musim ke-8. Saya harap JAKIM perlu memberikan nasihat kepada penerbit AF supaya adegan berpeluk-peluk antara lelaki dan perempuan yang masih berleluasa dan dipaparkan dengan bangganya di kaca televisyen ditiadakan. Opps! sebenarnya ada juga televisyen yang tidak berkaca lagi. Tahniah juga kepada kumpulan penaja progran realiti 'Adik-adikku' dan salah satu penaja utamanya ialah syarikat roti Gardenia. Mana syarikat roti orang Islam, tak teringinkah untuk menjadi penaja ?

Seterusnya saya juga berharap peserta-peserta program realiti 'Adik-adikku' tidak dipermatakan takut nanti hilang niat suci mereka untuk menjadi pendakwah sejati. Takut nanti mereka berasa sudah menjadi golongan elit yang ada kelas tersendiri dan akan berdakwah kerana fulus dan akhirnya orang kampung tak akan mampu mengundang mereka. Satu lagi biarkan mereka membesar mengikut hukum alam dan secara normal. Jangan nanti mereka yang hebat ini akhirnya tak ke mana. Kalau kita masih ingat kepada Mohd. Hanafi si anak pintar itu. Ke mana dia sekarang, masih hebatkah lagi sedangkan dia pernah diuruskan oleh orang-orang yang hebat. Apa jadi kepada Adiputra; senyap saja. Kalau saya tak silap, baru-baru ini pihak berkuasa ada merampas ubat menggunakan jenama nama anak itu yang dikatakan boleh memberikan kesan negatif kepada kesihatan pengguna. Kadang-kadang kita terlalu ghairah untuk menjadikan orang hebat semakin hebat dan pada masa yang sama melupakan hukum dan fitrah perkembangan manusia. Kita lupa keperluan emosi kanak-kanak yang dalam proses membesar kerana kita mahu mereka menjadi lebih super secara 'segera'. Akhirnya mereka yang menjadi mangsa. Kita ambil contoh kereta Kancil yang berkuasa kuda 850 cc dan ditukar enjin turbo. Memanglah laju jadinya kereta itu tetapi berapa lama boleh tahan. Tentu terdedah pada kemalangan kerana terlalu laju dan melanggar hukum kejuruteraan.

Satu lagi yang banyak dipaparkan di televisyen ialah jualan minuman super dan ubat menjadi pandai. Hal tentang menjadi super ini memang mudah mempengaruhi orang Melayu termasuk saya. Mujurlah doktor di IJN yang pernah saya jumpa berpesan supaya saya tak selalu minum kopi. Sebutlah apa yang boleh menjadikan kehebatan segera tentu akan laris di pasaran. Dari minuman kopi hinggalah ubat untuk menjadi pandai dan ada juga yang mendakwa produk mereka boleh menjadikan seseorang itu terang hati tentu akan menjadikan pengusahanya kaya raya. Kadang-kadang yang cipta kopi super atau ubat pandai tak tinggi manapun ilmunya. Kenapa dalam iklan tidak disisipkan frasa kalau tiada usaha bersungguh-sungguh jangan haraplah boleh berjaya. Kita mesti maklum semua hero buatan Amerika seperti Superman, Batman dan macam-macam lagi hanya pembohongan belaka. Pakai seluar dalam pun di luar macam mana kita nak percaya kehebatan superhero tersebut.

Sebelum coretan ini saya akhiri, saya mohon maaf jika coretan ini menyentuh mana-mana pihak. Semua yang saya coretkan hanya pandangan peribadi semata-mata tidak berniat untuk menyentuh mana-mana pihak. Wallahualam.

Rabu, 17 Mac 2010

GELANGGANG RAJA LAWAK 4


Salam, setelah post sebelum ini agak serius, kali ini biarlah kita santai sedikit dengan cerita-cerita berikut.
Kisah 1

"Mama.. hari ini saya dapat markah 100% di Sekolah," kata Kamal kepada mamanya.

"Iya ke??.. macam nilah anak Mama yang pintar..Pelajaran apa yang kamu dapat markah 100%?" tanya ibunya.

"Matematik 30%, Bahasa Melayu 50%, dan Sejarah 20%."

Kisah 2

Seorang gadis yang Bahasa Inggerisnya kacau-bilau... suatu hari terlanggar seorang pelancong
ketika berjalan-jalan di The mall.

Gadis : " I'm sorry "

Pelancong : " I'm sorry, too "

Si gadis kelihatan bingung kerana tidak faham apa yang diperkatakan oleh pelancong itu..
dia meneka-neka dan terus menjawab..

Gadis : " I'm sorry. three "

Pelancong : " What are you sorry for? "

Gadis : " I'm sorry, five "

Kisah 3
Dalam suatu perbicaraan di Mahkamah.. Hakim meminta pesalah berdiri untuk diperdengarkan tuduhan. "Saudara didakwa membunuh seorang tua dengan menggunakan gergaji" kata hakim.
Dari belakang terdengar seseorang berteriak... "Kurang ajar!!!"
"Bawa bertenang. Ini Mahkamah!" bentak hakim. Hakim kemudian membacakan lagi tuduhan...
"Saudara juga didakwa melakukan pembunuhan terhadap seorang penjual akhbar dengan menggunakan pisau..!" "Celaka!!!" teriak pengunjung tadi.
"Tenang, Bawa tenang!" teriak hakim dengan keras.
"Dan.. saudara juga dituduh melakukan pembunuhan terhadap seorang posmen dengan menggunakan parang..!" kata hakim. "Keparat!!!" teriak pengunjung tadi tanpa boleh ditahan.
Dengan geram Hakim berkata, "Jika anda tidak boleh berikan alasan kenapa anda berperangai seperti ini.. saya akan perintahkan anda di masukkan ke Hospital Bahagia atas kesalahan menghina mahkahmah!"
"Maaf.. Yang Arif..." pengunjung tadi berkata..."Saya adalah jiran pesalah... sebenarnya setiap kali saya ingin meminjam gergaji, pisau dan parang... dia selalu cakap... tidak ada!"
Kisah 5

Belajar Dua Kali Lebih Cepat
Ah Keong baru tiba dari Selatan China. Dia bercadang untuk belajar bahasa tempatan dengan segera supaya mudah baginya untuk berkomunikasi dengan rakyat tempatan.
Dia ke sebuah kedai buku dan menemui sebuah buku bertajuk "Belajar Bahasa Melayu dalam masa sebulan sahaja". Dia lantas mengambil dua buah buku itu. Taukeh kedai itu bertanya kepadanya "Satu lagi buku ini, untuk kawan awakkah?"
"Ohh tidak, Saya cuma mahu mempelajarinya dalam masa dua minggu sahaja".
Kisah 5
Najman ditanya gurunya. "Najman.. kenapa karangan kamu yang bertajuk "Kucingku" sama seperti karangan Misha?"
"Sebenarnya Misha tu sepupu saya cikgu " jawab Najman ketakutan.
"Kalau ya pun sepupu tetapi kenapa isi dan jalan ceritanya sama 100%?" "Betullah cikgu.. dah karangan yang saya dan Misha tulis adalah berkenaan kucing yang sama mana boleh isi dan jalan ceritanya berlainan...."
Kisah 6
Pada suatu hari.. seorang lelaki pergi kesebuah restoran untuk minum petang...Disebabkan wang yang dibawanya cuma 70 sen saja... dia cuba bertanya harga segelas teh panas dan teh sejuk... lalu pelayan restoran menjawab.. "Teh Panas 70 Sen & Teh Sejuk RM 1.20" Lelaki itu terus meminta teh panas dan apabila pelayan menghantar segelas teh panas mendidih itu lelaki itu tanpa teragak-agak terus meneguk teh panas itu sampai habis dengan lajunya.... Pelayan itu melihat dengan penuh kehairanan.. kerana teh panas mendidih itu boleh habis dalam sekelip mata sahaja... Lalu lelaki itu memberi wang 70 sen dan berkata "Kalau lambat diminum... air ini jadi sejuk... kalau sejuk tak pasal2 saya kena bayar RM 1.20.. lebih baik cepat-cepat diminum kerana wang aku hanya ada 70 sen saja"

Isnin, 15 Mac 2010

AMALAN 5S





Kali ini saya ingin berbicara tentang Amalan 5S di organisasi saya. Biar saya namakan organisasi saya itu sebagai ABC. Saya bukan hendak membantah usaha ke arah mewujudkan Budaya 5S dan tidak pula hendak menyokong secara semborono. Frasa tidak pula hendak menyokong di sini tidak bermakna saya ingin menderhaka. Kritikan yang ikhlas sukar diterima, lebih-lebih lagi daripada seorang rakan. Apa yang saya bicarakan ini sekadar pandangan peribadi saya sahaja dan bukan untuk mempengaruhi mana-mana pihak. Kalau baik mungkin kita boleh berkongsi dan kalau silap tolong jangan menghukum saya. Abaikan saja apa yang saya coretkan.



Berdasarkan pengamatan saya, usaha mewujudkan amalan 5S di ABC dilihat sebagai satu usaha yang dibuat tanpa sepenuh hati atau sekadar asalkan ada cukup. 5S ini saya lihat merupakan satu usaha murni tetapi malangnya warga ABC saya rasa masih tidak dapat menghayatinya. Saya rasa cara paling baik ialah memberi penerangan sejelas-jelasnya tentang 5S kepada seluruh warga. Biar lambat masa yang diambil untuk mendapat persijilan 5S tetapi paling penting Budaya 5S itu dihayati sepenuhnya.
Menjadikan sebuah Kilang Kabel Elektrik (KKE) sebagai model 5S ABC saya rasa sebagai satu tindakan kurang terancang. Macam mana kita hendak mengaplikasi Budaya 5S sebuah kilang dengan sebuah institusi pendidikan. Kilang bukan sekolah dan sekolah bukan kilang. Ruang lingkup kita berbeza. Mana mungkin ada persamaan dan kalau ada persamaanpun mungkin terlalu minimum. Di KKE tak ada bilik guru dan tak ada bilik darjah. Kalaupun sesuai mungkin hanya di Bengkel Kemahiran Hidup. Bayangkan bagaimana ayam mengajar itik berenang. Kenapa kita tak cari mana-mana sekolah untuk dijadikan model 5S ABC?
Seterusnya, saya rasa usaha ke arah 5S ini perlu dilaksanakan secara berperingkat. Mula-mula buat di pejabat pentadbiran dahulu kemudian kembangkan ke bilik-bilik khas yang lain dan akhirnya ke seluruh sekolah. Kita buat sedikit dahulu kemudian kita tengok di mana kelemahannya. Sekali lagi kita kena berpegang pada konsep biar lambat asalkan berkesan. Sudah banyak kempen dijalankan di ABC tetapi semuanya terkulai di tengah jalan. Setiap tahun ada saja kempen dilaksanakan tetapi kita tidak pernah menilai keberkesanannya. Dah puas guna bahasa Melayu kita guna Bahasa Arab tetapi hasilnya masih ditakuk lama. Kerana sayangkan ABC, maka saya tidak mahu usaha ke arah 5S juga akan menjadi seperti kempen-kempen yang lain.
Sebelum tamat bicara, saya ingin mencadangkan seluruh warga ABC melawat http://www.tabung-baitulmal-sarawak.org.my/amalan5s_files/frame.htm#slide0444.htm Saya rasa ada perkara yang baik tentang 5S di laman sesawang tersebut. Walaupun tak sama tetapi sekurang-kurangnya ada maklumat yang boleh dikongsi dan ada kaitan dengan institusi Islam. Sekali lagi saya ingin tegaskan coretan ini hanya pandangan peribadi sahaja dan tidak bertujuan untuk membantah tetapi mungkin sebagai menyampaikan mesej tentang adanya warga ABC yang masih kabur tentang 5S di ABC termasuk saya. Wallahualam.



Saya sisipkan di sini sedikit maklumat daripada Tuan Haji Abang Mohd Shibli bin Haji Abang Mohd Nailie, Pengurus Besar Tabung Baitulmal sarawak untuk dikongsi bersama :

“Amalan 5S bukan suatu yang sukar untuk dilaksanakan”. Saling ingat mengingati sesama kita adalah antara tanggungjawab bersama yang harus dilaksanakan yang merupakan penyumbang utama kepada pelaksanaan 5S yang berkesan.
Dalam melaksanakan 5S mereka, TBS mengguna pakai konsep I.M.A.N (I – Imiginasi; M – Merancang; A – Aplikasi dan N – Nilai). Melalui konsep ini kakitangan TBS telah berjaya melakukan perubahan menyeluruh. Pelaksanaan 5S juga menghendakisemua anggota organisasi terlibat sama serta bertanggungjawab dalam memastikan etika pelaksanaannya diikuti.
“5S melibatkan semua peringkat anggota organisasi dan ini sebenarnya lebih memberi manfaat kepada penambahbaikan menyeluruh organisasi di mana setiap orang dapat menyumbang dan juga adalah satu proses yang dinamik”.
Untuk mendapat hasil yang optimum daripada pelaksanaan 5S di organisasi kita, beberapa perkara berikut boleh membantu :

1. Sediakan prasarana yang bersesuaian. Adalah penting dikenal pasti terlebih dahulu aspek atau ruang yang bersesuaian untuk dilaksanakan 5S dalam organisasi. Untuk itu adalah perlu diwujudkan beberapa jawatankuasa bagi pelaksanaan 5S

2. Sediakan dan lancarkan sistem atau kaedah komunikasi yang sesuai. Ini penting bagi memberikan penerangan akan keperluan, kepentingan dan kebaikan 5S di organisasi kita kepada staf lain. Untuk itu beberapa kaedah boleh digunakan misalnya melalui mesyuarat, menggunakan intranet atau laman web organisasi, papan kenyataan, poster dan surat berita dalaman ( Newsletter)

3.Mulakan dengan projek perintis 5S. Pilih kawasan yang kebanyakan staf tidak "teringin" untuk bekerja, mungkin kerana terlalu sesak, tidak terurus dan sebagainya. Kawasan berkenaan juga harus mempunyai kesan visual positif apabila 5S dilaksanakan. Dengan pengalaman projek perintis ini kelak dapat digunakan untuk merancang pelaksanaan 5S yang lebih menyeluruh dalam organisasi.

4. Wujudkan dan kongsikan Best Practices. Sediakan dan gunakan pangkalan data berkaitan amalan-amalan yang terbaik dan mesti dikongsikan dengan staf yang lain.

5. Sediakan pelan pelaksanaan 5S yang menyeluruh. Hasil dari pelaksanaan projek perintis 5S, adalah penting dilakukan penilaian dan semakan. Dapatkan maklum balas dan idea daripada ahli kumpulan projek perintis 5S berkenaan untuk input penambahbaikan dalam pelan pelaksanaan 5S organisasi.

6. Sentiasa menilai dan membuat pengubahsuaian. Dalam pelaksanaan 5S, setiap masalah yang dihadapi harus dijadikan teladan dan daripadanya mesti dilakukan penambahbaikan. Ubahsuai atau pilih pendekatan dan kaedah pelaksanaan bagi memastikan 5S di organisasi kita lebih "segar".

Sabtu, 13 Mac 2010

TERIMA KASIH KAWAN-KAWAN


Hari ini saya berasa sungguh lega kerana mesyuarat agung PIBG telah selamat berlangsung. Hilang segala penat dan cuti ini saya akan berehat sepuas-puasnya. Saya tidak mahu bercakap panjang tentang mesyuarat tersebut tetapi yang saya hendak ceritakan adalah tentang KERJASAMA antara rakan sekerja dalam melaksanakan tugasan tersebut. Saya terharu kerana kerjasama yang diberikan oleh rakan-rakan sekerja yang banyak membantu saya. Saya akui bahawa saya tidak akan dapat membalas jasa mereka. Hanya terima kasih yang tidak terhingga yang mampu saya berikan. Terima kasih juga kepada pihak pentadbir kerana sentiasa memberikan sokongan.

Saya percaya kalau suasana dan kerjasama itu sentiasa segar maka tidak mustahil tahun 2013 nanti kita akan dapat mencapai misi kita.

Sabtu, 6 Mac 2010

PETIK SANA PETIK SINI


Assalamualaikum, pada post kali ini saya hendak berkongsi hasil dapatan tokoh motivasi tersohor Dato’ Dr. Fadillah Kamsah tentang ciri-ciri mereka yang dilahirkan pada bulan Mac. Sambil itu saya ingin mengucapkan Selamat Hari Lahir kepada mereka yang berkenaan. Kata Dato' Fadillah Kamsah, anda memiliki ciri-ciri berikut :
* Berpesonaliti menarik dan menawan.

* Mudah didampingi.

* Sangat pemalu dan pemendam rasa.

* Sangat baik secara semula jadi, jujur pemurah dan mudah simpati.

* Sangat sensitif pada perkataan yang dituturkan dan alam persekitaran.

* Suka pada kedamaian.

* Sangat peka pada orang lain.

* Sesuai dengan kerjaya yang memberi khidmat kepada orang lain.

* Tidak cepat marah dan sangat amanah.

* Tahu membalas dan mengenang budi.

* Pemerhatian dan penilaian yang sangat tajam.

* Kecenderungan untuk berdendam jika tidak dikawal.

* Suka berangan-angan.

* Suka melancong.

* Sangat manja dan suka diberi perhatian yang sangat tinggi.

* Kelam kabut dalam memilih pasangan.

* Suka dengan hiasan rumah tangga.

* Punya bakat seni dalam bidang muzik.

* Kecenderungan pada benda yang istimewa dan baik.

* Jangan terlalu mengikut selera atau perasaan
Sejauh mana dapatan Dato’ Dr. Fadillah Kamsah ada kaitan dengan anda ?

Yang seterusnya, saya petik daripada laman sesawang BPI untuk kita ambil pengajarannya.

Antara Manusia dan buah-buahan

Jangan suka mendedah tubuh,

Jadilah seperti jagung, jangan seperti gajus.

Jagung membungkus bijinya yang banyak,sedangkan gajus mempamerkan bijinya yang cuma satu.


Setia terhadap pasangan

Jadilah seperti pohon pisang.

Pohon pisang kalau berbuah hanya sekali seumur hidupnya.


Kecantikan dalaman

Jadilah seperti durian, jangan seperti kedondong.

Durian walaupun di luarnya penuh kulit yang tajam,tetapi di dalamnya lembut dan manis.

Berbeza dengan kedondong, di luarnya mulus dan berkilat, tetapi di dalamnya ada biji yang berduri.


Jaga kesucian dalam pergaulan

Jadilah seperti sengkuang.

Walaupun hidup dalam tanah dan selut, tetapi umbinya tetap putih bersih.