Isnin, 15 Mac 2010

AMALAN 5S





Kali ini saya ingin berbicara tentang Amalan 5S di organisasi saya. Biar saya namakan organisasi saya itu sebagai ABC. Saya bukan hendak membantah usaha ke arah mewujudkan Budaya 5S dan tidak pula hendak menyokong secara semborono. Frasa tidak pula hendak menyokong di sini tidak bermakna saya ingin menderhaka. Kritikan yang ikhlas sukar diterima, lebih-lebih lagi daripada seorang rakan. Apa yang saya bicarakan ini sekadar pandangan peribadi saya sahaja dan bukan untuk mempengaruhi mana-mana pihak. Kalau baik mungkin kita boleh berkongsi dan kalau silap tolong jangan menghukum saya. Abaikan saja apa yang saya coretkan.



Berdasarkan pengamatan saya, usaha mewujudkan amalan 5S di ABC dilihat sebagai satu usaha yang dibuat tanpa sepenuh hati atau sekadar asalkan ada cukup. 5S ini saya lihat merupakan satu usaha murni tetapi malangnya warga ABC saya rasa masih tidak dapat menghayatinya. Saya rasa cara paling baik ialah memberi penerangan sejelas-jelasnya tentang 5S kepada seluruh warga. Biar lambat masa yang diambil untuk mendapat persijilan 5S tetapi paling penting Budaya 5S itu dihayati sepenuhnya.
Menjadikan sebuah Kilang Kabel Elektrik (KKE) sebagai model 5S ABC saya rasa sebagai satu tindakan kurang terancang. Macam mana kita hendak mengaplikasi Budaya 5S sebuah kilang dengan sebuah institusi pendidikan. Kilang bukan sekolah dan sekolah bukan kilang. Ruang lingkup kita berbeza. Mana mungkin ada persamaan dan kalau ada persamaanpun mungkin terlalu minimum. Di KKE tak ada bilik guru dan tak ada bilik darjah. Kalaupun sesuai mungkin hanya di Bengkel Kemahiran Hidup. Bayangkan bagaimana ayam mengajar itik berenang. Kenapa kita tak cari mana-mana sekolah untuk dijadikan model 5S ABC?
Seterusnya, saya rasa usaha ke arah 5S ini perlu dilaksanakan secara berperingkat. Mula-mula buat di pejabat pentadbiran dahulu kemudian kembangkan ke bilik-bilik khas yang lain dan akhirnya ke seluruh sekolah. Kita buat sedikit dahulu kemudian kita tengok di mana kelemahannya. Sekali lagi kita kena berpegang pada konsep biar lambat asalkan berkesan. Sudah banyak kempen dijalankan di ABC tetapi semuanya terkulai di tengah jalan. Setiap tahun ada saja kempen dilaksanakan tetapi kita tidak pernah menilai keberkesanannya. Dah puas guna bahasa Melayu kita guna Bahasa Arab tetapi hasilnya masih ditakuk lama. Kerana sayangkan ABC, maka saya tidak mahu usaha ke arah 5S juga akan menjadi seperti kempen-kempen yang lain.
Sebelum tamat bicara, saya ingin mencadangkan seluruh warga ABC melawat http://www.tabung-baitulmal-sarawak.org.my/amalan5s_files/frame.htm#slide0444.htm Saya rasa ada perkara yang baik tentang 5S di laman sesawang tersebut. Walaupun tak sama tetapi sekurang-kurangnya ada maklumat yang boleh dikongsi dan ada kaitan dengan institusi Islam. Sekali lagi saya ingin tegaskan coretan ini hanya pandangan peribadi sahaja dan tidak bertujuan untuk membantah tetapi mungkin sebagai menyampaikan mesej tentang adanya warga ABC yang masih kabur tentang 5S di ABC termasuk saya. Wallahualam.



Saya sisipkan di sini sedikit maklumat daripada Tuan Haji Abang Mohd Shibli bin Haji Abang Mohd Nailie, Pengurus Besar Tabung Baitulmal sarawak untuk dikongsi bersama :

“Amalan 5S bukan suatu yang sukar untuk dilaksanakan”. Saling ingat mengingati sesama kita adalah antara tanggungjawab bersama yang harus dilaksanakan yang merupakan penyumbang utama kepada pelaksanaan 5S yang berkesan.
Dalam melaksanakan 5S mereka, TBS mengguna pakai konsep I.M.A.N (I – Imiginasi; M – Merancang; A – Aplikasi dan N – Nilai). Melalui konsep ini kakitangan TBS telah berjaya melakukan perubahan menyeluruh. Pelaksanaan 5S juga menghendakisemua anggota organisasi terlibat sama serta bertanggungjawab dalam memastikan etika pelaksanaannya diikuti.
“5S melibatkan semua peringkat anggota organisasi dan ini sebenarnya lebih memberi manfaat kepada penambahbaikan menyeluruh organisasi di mana setiap orang dapat menyumbang dan juga adalah satu proses yang dinamik”.
Untuk mendapat hasil yang optimum daripada pelaksanaan 5S di organisasi kita, beberapa perkara berikut boleh membantu :

1. Sediakan prasarana yang bersesuaian. Adalah penting dikenal pasti terlebih dahulu aspek atau ruang yang bersesuaian untuk dilaksanakan 5S dalam organisasi. Untuk itu adalah perlu diwujudkan beberapa jawatankuasa bagi pelaksanaan 5S

2. Sediakan dan lancarkan sistem atau kaedah komunikasi yang sesuai. Ini penting bagi memberikan penerangan akan keperluan, kepentingan dan kebaikan 5S di organisasi kita kepada staf lain. Untuk itu beberapa kaedah boleh digunakan misalnya melalui mesyuarat, menggunakan intranet atau laman web organisasi, papan kenyataan, poster dan surat berita dalaman ( Newsletter)

3.Mulakan dengan projek perintis 5S. Pilih kawasan yang kebanyakan staf tidak "teringin" untuk bekerja, mungkin kerana terlalu sesak, tidak terurus dan sebagainya. Kawasan berkenaan juga harus mempunyai kesan visual positif apabila 5S dilaksanakan. Dengan pengalaman projek perintis ini kelak dapat digunakan untuk merancang pelaksanaan 5S yang lebih menyeluruh dalam organisasi.

4. Wujudkan dan kongsikan Best Practices. Sediakan dan gunakan pangkalan data berkaitan amalan-amalan yang terbaik dan mesti dikongsikan dengan staf yang lain.

5. Sediakan pelan pelaksanaan 5S yang menyeluruh. Hasil dari pelaksanaan projek perintis 5S, adalah penting dilakukan penilaian dan semakan. Dapatkan maklum balas dan idea daripada ahli kumpulan projek perintis 5S berkenaan untuk input penambahbaikan dalam pelan pelaksanaan 5S organisasi.

6. Sentiasa menilai dan membuat pengubahsuaian. Dalam pelaksanaan 5S, setiap masalah yang dihadapi harus dijadikan teladan dan daripadanya mesti dilakukan penambahbaikan. Ubahsuai atau pilih pendekatan dan kaedah pelaksanaan bagi memastikan 5S di organisasi kita lebih "segar".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan