Sabtu, 20 Mac 2010

KISAH TELEVISYEN

Jangan cuba-cuba tiru aksi ini.
Salam,

Kali ini saya hendak berbicara tentang televisyen. Ketika saya menulis post ini, secara berselang seli saya menonton siaran berita 7.30 pagi di Astro Awani. Sebahagian besar berita tentang politik negara terutama tentang pendedahan seorang ahli parlimen bebas terhadap seorang ahli politik lain. Macam-macam komen diberikan. Satu perkara saya nak komen, dalam konteks perjuangan bolehkah kita mempercayai seorang yang telah belot. Kalau tak silap saya dalam peperangan jika ada askar yang belot hukumannya sangat berat tapi dalam politik mengapa pembelot dianggap wira? Sehari dua ini Parlimen bukan menjadi medan membela rakyat tetapi bertukar menjadi medan mengaibkan wakil rakyat. Apa dah jadi ? Betulkan saya jika tafsiran saya silap.

Kita tinggalkan dulu hal politik sebab saya pun tidak berminat nak bercerita panjang tentang perkara itu. Pada saya yang penting ialah sejauh manakah kita mampu menggunakan pemikiran yang waras untuk menentukan apa yang terbaik pada kita. Orang lain hanya boleh berkempen tetapi keputusannya kita yang buat.

Saya masih hendak bercerita tentang siaran televisyen yang menarik disiarkan secara langsung di TV1 pada malam 18 Mac 2010, iaitu program realiti 'Adik-adikku'. Sangat menarik ditonton kerana program anjuran JAKIM itu boleh dianggap sebagai satu usaha murni untuk melahirkan kumpulan pendakwah kanak-kanak dan untuk jangka panjang melahirkan pendakwah yang berwibawa di negara ini yang menggunakan pendekatan menarik. Sesiapa yang menonton rancangan itu tentu bersetuju dengan saya. Tahniah untuk adik Mohd. Wajih yang menjadi juara musim pertama. Tahniah juga kepada semua peserta lain. Tahniah juga kepada JAKIM yang mampu menganjurkan program hebat tersebut. Harap-harap program ini akan diteruskan dengan lebih hebat lagi. Biar jauh lebih hebat daripada AF yang sudah sampai musim ke-8. Saya harap JAKIM perlu memberikan nasihat kepada penerbit AF supaya adegan berpeluk-peluk antara lelaki dan perempuan yang masih berleluasa dan dipaparkan dengan bangganya di kaca televisyen ditiadakan. Opps! sebenarnya ada juga televisyen yang tidak berkaca lagi. Tahniah juga kepada kumpulan penaja progran realiti 'Adik-adikku' dan salah satu penaja utamanya ialah syarikat roti Gardenia. Mana syarikat roti orang Islam, tak teringinkah untuk menjadi penaja ?

Seterusnya saya juga berharap peserta-peserta program realiti 'Adik-adikku' tidak dipermatakan takut nanti hilang niat suci mereka untuk menjadi pendakwah sejati. Takut nanti mereka berasa sudah menjadi golongan elit yang ada kelas tersendiri dan akan berdakwah kerana fulus dan akhirnya orang kampung tak akan mampu mengundang mereka. Satu lagi biarkan mereka membesar mengikut hukum alam dan secara normal. Jangan nanti mereka yang hebat ini akhirnya tak ke mana. Kalau kita masih ingat kepada Mohd. Hanafi si anak pintar itu. Ke mana dia sekarang, masih hebatkah lagi sedangkan dia pernah diuruskan oleh orang-orang yang hebat. Apa jadi kepada Adiputra; senyap saja. Kalau saya tak silap, baru-baru ini pihak berkuasa ada merampas ubat menggunakan jenama nama anak itu yang dikatakan boleh memberikan kesan negatif kepada kesihatan pengguna. Kadang-kadang kita terlalu ghairah untuk menjadikan orang hebat semakin hebat dan pada masa yang sama melupakan hukum dan fitrah perkembangan manusia. Kita lupa keperluan emosi kanak-kanak yang dalam proses membesar kerana kita mahu mereka menjadi lebih super secara 'segera'. Akhirnya mereka yang menjadi mangsa. Kita ambil contoh kereta Kancil yang berkuasa kuda 850 cc dan ditukar enjin turbo. Memanglah laju jadinya kereta itu tetapi berapa lama boleh tahan. Tentu terdedah pada kemalangan kerana terlalu laju dan melanggar hukum kejuruteraan.

Satu lagi yang banyak dipaparkan di televisyen ialah jualan minuman super dan ubat menjadi pandai. Hal tentang menjadi super ini memang mudah mempengaruhi orang Melayu termasuk saya. Mujurlah doktor di IJN yang pernah saya jumpa berpesan supaya saya tak selalu minum kopi. Sebutlah apa yang boleh menjadikan kehebatan segera tentu akan laris di pasaran. Dari minuman kopi hinggalah ubat untuk menjadi pandai dan ada juga yang mendakwa produk mereka boleh menjadikan seseorang itu terang hati tentu akan menjadikan pengusahanya kaya raya. Kadang-kadang yang cipta kopi super atau ubat pandai tak tinggi manapun ilmunya. Kenapa dalam iklan tidak disisipkan frasa kalau tiada usaha bersungguh-sungguh jangan haraplah boleh berjaya. Kita mesti maklum semua hero buatan Amerika seperti Superman, Batman dan macam-macam lagi hanya pembohongan belaka. Pakai seluar dalam pun di luar macam mana kita nak percaya kehebatan superhero tersebut.

Sebelum coretan ini saya akhiri, saya mohon maaf jika coretan ini menyentuh mana-mana pihak. Semua yang saya coretkan hanya pandangan peribadi semata-mata tidak berniat untuk menyentuh mana-mana pihak. Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan