Sabtu, 3 Julai 2010

Judi UPSR dan PMR !




Selepas isu judi, kini kita dibentangkan dengan isu pemansuhan UPSR dan PMR. Ketika isu judi hangat, gegak gempitalah seluruh negara dengan pelbagai bantahan (Sekalung tahniah kepada mereka yang membantah pemberian lesen judi dan kepada yang menyokong judi, rasanya ada sesuatu yang ‘tidak kena’ pada mereka ini).

Nampaknya isu judi ini telah mula surut dan dilupakan tetapi kita dihidangkan pula dengan isu pemansuhan UPSR dan PMR. Hari-hari di media massa isu ini dipaparkan dan seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Pelajaran keputusan sama ada UPSR dan PMR dimansuhkan atau tidak hanya akan diketahui dalam tempoh sebulan dua lagi. Harapan kita biarlah keputusan yang dibuat nanti merupakan keputusan yang terbaik dan bukan sekadar keputusan terburu-buru atas sesuatu yang tersirat.

Mungkin ada antara kita yang tertanya-tanya mengapa tiba-tiba UPSR dan PMR ‘diusik’ sedangkan sudah puluhan tahun kita bersama-sama dengannya. Adakah kerana UPSR dan PMR telah menjadikan sistem pendidikan kita gagal melahirkan generasi yang hebat dan cemerlang ? Kalau itulah puncanya, rasanya kita mungkin akan melakukan kerosakan sekali lagi terhadap sistem pendidikan kita. Kita mungkin akan menyebabkan generasi kita terus bermasalah.

Mungkin ada beberapa contoh bagaimana kita telah menjejaskan perkembangan generasi muda kita. Kalau masih ingat dahulu kita ada ujian khas yang membolehkan pelajar yang cemerlang melompat kelas. Akhirnya ujian itu hilang begitu sahaja setelah dikatakan terlalu menekankan aspek peperiksaan tanpa memikirkan perkembangan emosi murid. Kalau dahulu mereka yang gagal PMR tidak boleh menyambung pelajaran ke tingkatan empat tetapi selepas itu sistem tersebut dimansuhkan dan semua murid diberi peluang untuk mendapatkan pendidikan hingga ke tingkatan lima. Akhirnya apa yang kita dapat? Masalah disiplin bertambah, gejala sosial semakin membimbangkan dan pelbagai kejadian lagi yang menakutkan kita melibatkan golongan remaja. Sekali lagi sistem pendidikan kita disalahkan kerana dikatakan berorientasikan peperiksaan dan ditambah pula dengan kesalahan ibu bapa kerana dikatakan gagal mendidik anak-anak.

Kalau dahulu mereka yang gagal PMR berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah aliran vokasional tetapi apa jadi selepas itu. Semua sekolah vokasional ditukar menjadi sekolah teknik. Rasanya suatu masa dahulu sekolah-sekolah menengah teknik, khusus untuk pelajar yang cemerlang PMR tetapi selepas itu semuanya caca merba. Kita juga disuapkan dengan isu pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris kerana mahu menjadi orang hebat tetapi kita lupa kepada mereka yang tidak mampu mengikuti pengajian berdasarkan akademik semata-mata. Nampaknya penjajah telah berjaya menerapkan rasa bangga kita terhadap bahasa mereka. Setelah puluhan tahun kita merdeka kita masih beriya-iya mengagungkan bahasa penjajah. Belajar dalam bahasa Melayupun ada antara anak-anak kita dah tunggang langgang inikan pula belajar dalam bahasa asing. Malang sungguh nasib mereka ini. Tidakkah kita berasa kasihan terhadap mereka. Adakah kita mahu terus memperjudikan masa depan mereka?

Harap-harap keputusan sama ada UPSR dan PMR akan dimansuhkan atau tidak nanti benar-benar keputusan yang tepat. Mungkin pakar-pakar pendidikan dan pegawai-pegawai kita yang hebat dalam pendidikan akan memberikan nasihat dan pandangan yang betul kepada Pak Menteri. Jangan nanti apabila nasihat yang hanya mahu menjaga kedudukan sekali lagi menyebabkan kita tersilap dan mungkin berdosa kepada anak-anak bangsa kita.

Dahulu kita kata keputusan untuk menukar sekolah vokasional jadi sekolah teknik sebagai tepat dan bijak tetapi apa sudah jadi, kita mahu kembali memartabatkan aliran vokasional kembali. Dahulu kita kata belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris sebagai cara terbaik untuk menjadi maju tetapi kini apa dah jadi ? Kita dah balik asal. Takut nanti apabila kita sudah mansuh UPSR dan PMR akhirnya kita akan ‘merindui’nya dan ‘gila talak’ untuk kembali kepadanya.
Cuba bayangkan jika kita bertindak ‘menceraikan’ UPSR dan PMR daripada sistem pendidikan kita, bagaimana kita hendak menilai perkembangan pelajar-pelajar kita? Bagaimana kita hendak mengesan kebolehan mereka? Tanggapan mudahnya ialah jika UPSR dan PMR masih dikekalkan sejak awal lagi kita sudah mendapat gambaran siapa yang boleh jadi doktor, jurutera dan siapa pula yang boleh memberikan sumbangan sebagai kumpulan sokongan kepada negara.

Rasanya UPSR dan PMR tidak bersalah. Yang salah ialah kita sendiri. Mungkin ada perkara lain yang perlu dibetulkan dalam sistem pendidikan kita. Perekayasaan sistem pendidikan kita mungkin pada kandungan sukatannya dan bukannya pada peperiksaannya. Mungkin juga pada perancang-perancangnya. Tentu bijak pandai kita dalam pendidikan mampu berbuat sesuatu bukan sekadar pandai cakap.Ingatlah, jika nasi sudah menjadi bubur masih boleh dimakan tetapi jika generasi muda yang rosak apa akan jadi pada negara kita ? Akhirnya saya ingin tegaskan bahawa semua pendapat dalam tulisan ini hanya berdasarkan pendapat saya semata-mata dan tidak bertujuan untuk menyalahkan mana-mana pihak. Wassalam.

1 ulasan:

  1. CIKGU TAU TAK AGENDA SEBENAR PIHAK YG MAHU IA DIMANSUHKAN .....\
    SEBAB KERAJAAN TAK DE DUIT
    APABILA IA DIMANSUHKAN
    SEKALIGUS MENGURANGKAN KOS PENDIDIKAN

    BalasPadam