Rabu, 30 Disember 2009

ANTARA ENJIN JET F5E dan YANG BANYAK DAPAT E DALAM PEPERIKSAAN

Assalamualaikum,

1.SATU Malaysia digemparkan dengan kehilangan enjin jet F5E yang bernilai RM 50 juta setiap satu. Ada yang berpendapat kehilangan enjin itu petanda keselamatan negara kita terlalu longgar. Sebagai rakyat yang cinta akan negara pendapat itu mungkin ada benarnya. Walau bagaimanapun, kita serah kepada mereka yang arif untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap petualang negara yang melarikan enjin tersebut.

2. Sedikit hari lagi musim persekolahan 2010 akan bermula. Tauke-tauke uniform sekolah sudah lama tersenyum mengutip untung akhir tahun. Tauke-tauke buku pun senyum sama kerana buku-buku jualannya laris sebab semua orang mahu jadi pandai. Yang kurang senyum mungkin ibu bapa yang ramai anak. Apa nak buat sudah jadi tanggungjawab demi masa depan anak-anak.

3. Yang dapat 5A dalam UPSR dan semua A dalam PMR sudah tentu sudah menanam cita-cita untuk terus cemerlang. Macam-macam program dan kemudahan sudah disediakan untuk mereka. Sekolah asrama penuh, kelas Rancangan Khas dan tidak ketinggalan program Permata Pintar. Tahniah.

4. Namun kita mungkin lupa dengan anak-anak yang dapat 5E dalam UPSR dan banyak E dalam PMR. Ke mana mereka selepas ini ? Tiada satupun program yang diuar-uarkan untuk mereka. Kalau enjin jet F5E yang hilang akan kita cari sampai dapat tetapi bagaimana dengan 'kehilangan' mereka ini daripada arus pendidikan? Mungkin kita perlu mewujudkan sekolah berasrama penuh untuk mereka atau kita wujudkan program Permata Pintar juga untuk mereka. Kita mesti mentakrif perkataan 'pintar' dari sudut yang lebih luas. Mereka mungkin tidak pintar dalam akademik tetapi pintar dalam aspek lain yang mungkin boleh menguntungkan negara dalam jangka masa panjang. Yang penting program untuk mereka selari dengan kepintaran mereka. Siapa tahu, kerana Allah telah menetapkan setiap orang ada rezekinya masing-masing. Kita ada banyak bijak pandai yang ada idea untuk menjadikan orang pandai lebih pandai. Mungkin bijak pandai ini boleh digunakan untuk menjadikan orang tidak pandai menjadi pandai.Malaysia boleh !!!

5. Sama-sama kita renungkan dan cuba cari jalan untuk kumpulan UPSR 5E dan banyak E dalam PMR ini. Kepada anak-anak yang cemerlang, teruskan kecemerlangan dan yang kurang cemerlang, jangan hilang semangat. Kepada semua guru, selamat memulakan tugas mulia anda.Selamat Tahun Baru 2010.

6. Catatan ini hanya pandangan peribadi sahaja.

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan