Khamis, 17 Disember 2009

BELANGSUNGKAWA USTAZ ARMAN MD. RUSOFF


Tanggal 12 Disember 2009 sekitar jam 6.00 pagi waktu Malaysia, dia kembali kepada Penciptanya setelah koma selama 11 hari. Sebagai sahabat, aku amat terasa kehilangannya.


Masih terdengar suaranya ketika dia menelefonku pada tanggal 27 Disember 2009. Suaranya ceria sahaja dan bersungguh-sungguh mengajakku melawat ke Jordan. Aku seolah-olah berjanji padanya bahawa aku akan ke sana pada masa cuti sekolah sekitar bulan Jun 2010. Maklumlah bukan sedikit belanja nak ke sana. Perlu ambil masa untuk kumpul duit. Dia agak kecewa dengan jawapanku.


Itulah perbualan terakhirku dengan Allahyarham. Selepas itu, aku masih menerima beberapa sms daripadanya tetapi sudah agak lewat malam. Dua kali aku membalasnya dan selepas itu aku tertidur. Kalaulah aku tahu itu merupakan hari-hari terakhirnya sudah tentu aku akan terus berbicara dengannya walaupun sekadar dengan sms. Tapi apakan daya, hanya Allah yang maha mengetahui segala suratan takdir.


Tanggal 30 November 2009 aku mendapat panggilan telefon daripada Ustaz Zainaphi menyatakan bahawa Allahyarham koma. Aku tak percaya dan terus menghubungi Hasmadi yang juga tak tahu apa-apa. Lantas aku menghubungi Allahyarham dan isterinya yang menjawab panggilan telefonku. Aku bertanya khabar Allahyarham. Isterinya mengesahkan bahawa Allahyarham berada di ICU dalam keadaan tidak sedar. Sejak itulah dia koma dan terus pergi tak kembali. Allah lebih menyayanginya.


Semua yang mengenalinya begitu terasa kehilangannya. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah. Semoga isteri dan anak-anak serta keluarga Allahyarham tabah menghadapi ujian ini. Segala suka duka ketika kami bersahabat akan menjadi kenangan yang tak mungkin hilang dalam ingatan. Al Fatihah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan