Jumaat, 19 Februari 2010

MAULIDUR RASUL & HARI VALENTINE


Assalamualaikum kepada semua pengunjung blog Coretan Minda dan juga kepada pelajar SMKA Maahad Hamidiah yang telah berkunjung ke blog ini.

Isu yang nampak besar sejak minggu lepas ialah isu perarakan bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul yang akan disambut pada 26 Februari 2010/12 Rabiulawal 1431. Saya bukanlah orang yang layak mengemukakan pendapat tentang cara sambutannya tetapi saya terpanggil untuk membincangkannya di ruang ini kerana bimbang dengan sikap sesetengah orang kita yang beriya-iya sungguh memperjuangkan perarakan Maulidur Rasul. Keadaan tambah tenat apabila isu ini dipolitikkan. Semuanya bermula apabila ada khabar menyatakan bahawa Kerajaan Pulau Pinang telah membatalkan perarakan Maulidur Rasul. Gegak gempita seluruh negara mempertikaikan tindakan kerajaan negeri tersebut. Apa yang saya tahu ada juga negeri-negeri lain yang tidak mengadakan perarakan tersebut tetapi tiada siapa yang mempertikaikannya. Tambahan pula yang kuat mempertikaikan ketiadaan perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang bukanlah ulama atau pak-pak ustaz tetapi hanya orang biasa-biasa macam saya. Adakah perarakan Maulidur Rasul ini sesuatu yang wajib diadakan? Entahlah, saya tak berani dan tak layak untuk menjawabnya. Mungkin ada ulama atau Pak Ustaz yang berkunjung ke blog ini boleh tolong menjawab tentang hukum perarakan Maulidur Rasul.

Saya tak mahu berbicara panjang tentang perarakan Maulidur Rasul kerana saya juga ingin menyentuh perkara yang sememangnya bertentangan dengan amalan orang Islam, iaitu sambutan Hari Valentine atau Hari Kekasih yang selalu disambut pada 14 Februari. Saya rasa perkara inilah yang perlu dibimbangi oleh orang-orang yang menentang ketiadaan perarakan Maulidur Rasul kerana pengaruh Hari Kekasih ini sudah sebati dengan sebahagian orang Islam. Inilah sebenarnya ancaman yang perlu diatasi dan dibendung sebab sudah terang-terang sambutannya bertentangan dengan Islam jika dilakukan oleh orang Islam. Saya hendak bertanya kepada pejuang-pejuang perarakan Maulidur Rasul, mengapa tiada langsung suara garang dan lantang menggesa pihak berkuasa membanteras sambutan Hari Kekasih dalam kalangan orang Islam ? Kenapa mesti diam apabila perkara itu tiada kaitan dengan politik ? Berjuanglah... bersuaralah... menghapuskan amalan-amalan salah yang dilakukan oleh orang-orang Islam. Selamatkan orang-orang Islam yang hanyut dengan amalan-amalan yang tersasar jauh daripada ajaran Islam.

Akhir kata, selamat menyambut Maulidur Rasul dan semoga hidup kita akan sentiasa diberkati Allah. Maaf jika coretan ini menyentuh mana-mana pihak. Tegasnya semua yang saya coretkan hanyalah pandangan peribadi saya sahaja dan tidak bertujuan menyinggung mana-mana pihak. Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan