Khamis, 25 Februari 2010

YANG CERIA & YANG DUKA


Hari ini sebahagian besar rakyat Malaysia akan bercakap tentang keputusan peperiksaan STPM. Macam-macam cerita akan kita dengar. Bagi yang berjaya dengan cemerlang mereka akan berkongsi petua kecemerlangan dengan kita semua. Kita akan dengar ayat-ayat popular untuk berjaya seperti memberi tumpuan ketika guru sedang mengajar, mengulang kaji berjam-jam sehari, mengikuti kelas tuisyen dan pelbagai petua lagi. Begitulah lumrahnya ketika musim keputusan peperiksaan diumumkan.

Kita juga akan mendengar kata-kata motivasi yang ditujukan kepada mereka yang kurang berjaya, iaitu Jangan berputus asa, gagal sekali bukan bermakna gagal selama-lamanya dan macam-macam lagi kata yang memujuk. Tak tahu apa yang tersirat di sebalik kata-kata sedemikian. Takkan ada yang berani mengatakan 'Padan muka, dulu suruh belajar tak mau belajar. sekarang apa dah jadi!' kepada mereka yang tidak mendapat keputusan cemerlang. Silap-silap lebam muka kalau kita berkata demikian kepada mereka yang kurang menyerlah.

Ketika keputusan peperiksaan diumumkan, sekali lagi kita semua akan lupa dengan matlamat pendidikan kita. Adakah mereka yang cemerlang dalam peperiksaan itu sememangnya cemerlang dalam pelbagai perkara. Bagaimana dengan sahsiah mereka ? Adakah secemerlang dengan keputusan yang diperoleh. Rasanya tidak semua yang cemerlang keputusan peperiksaannya akan cemerlang sahsiahnya walaupun sebahagian besar masyarakat kita berpendapat mereka yang lulus cemerlang merupakan orang yang hebat sahsiahnya. Suka tidak suka kita perlu terima hakikat dan pendapat tersebut.

Walau apapun sekalung tahniah kepada mereka yang cemerlang dalam STPM 2009 dan kepada yang kurang menyerlah cuba lagi. Dunia anda belum gelap lagi. Kita percaya setiap orang sudah ditentukan rezekinya oleh Allah. Maaf kerana terpaksa guna ayat popular ini. Buktinya tengoklah iklan MLM yang disiarkan di televisyen. Daripada seorang drebar lori menjadi jutawan setelah terlibat dalam bisnes jual penapis air. Jangan terkejut nanti mereka yang cemerlang dalam peperiksaan hanya mampu menggunakan kereta Persona tetapi yang kurang menyerlah dalam peperiksaan akan menjadi jutawan kerana berjaya dalam bisnes MLM. Mereka akan bergambar gah dengan kereta mewah masing-masing. Dan ada yang lebih hebat, duduk rumah saja sudah boleh jadi jutawan. Siapa tahu. Itu semua merupakan qada dan qadar.
Kepada anak-anak didik saya yang menerima keputusan STPM hari ini, rancanglah masa depan anda dari sekarang. Berusahalah untuk menjadi orang yang hebat. Apabila anda sudah berjaya kelak jangan lupa tempat anda mencari ilmu. Kembalilah membantu dan salah satu caranya adalah dengan menyumbang kepada Program Dana Kasih PIBG Maahad Hamidiah. Nombor akaunnya CIMB Islamic : 12280000127102 (PIBG SMKA Maahad Hamidiah).

Kepada : Farah Hanani, Fatin, Ahmad Adli, Mohammad Fahmi, Fatin Shakila, Nur Izzati, Nur Nabilah,Siti Balqis, Siti Zaleha, Nik Noor Shuhada, Mohd Fakarudin, Mohammad Noor Izzat, Huwaida, Afzal Syazwan, Adibah, Nurul Liyana, Nurul Nadhirah, Muhammad Adib dan ramai lagi yang tidak dapat ditulis di laman ini diucapkan Selamat Maju Jaya. Rancang masa depan anda untuk menjadi insan rabbani.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan